PANTANG
LARANG MASYARAKAT MELAYU
Pengenalan
Pantang
larang orang Melayu merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau
berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Menurut Sheikh Othman
bin Seikh Salim (eds.) dalam Kamus Dewan Edisi Yang Ketiga (hlm. 975), pantang
larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi dari sejak
manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya meninggal
dunia. Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM),
Siti Nor Awang, menafsir pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat Melayu
dulu sebagai panduan hidup mengenai perkara yang boleh dilakukan, larangan dan
wajar.
Menurut
Arni Binti Johan dalam Aktivis Jurnal Akademik Jilid V1 2006 – Budaya dan Ilmu
(hlm. 49), pantang larang lebih merupakan khazanah budaya dunia terbina
daripada pengalaman hidup yang lalu. Pengalaman ini mendukung nilai
yang tinggi kerana paling tidaknya pengalaman ini dapat dijadikan
panduan, pedoman atau contoh teladan dalamkehidupan masa kini. Pantang larang
ini merupakan salah satu bentuk “disiplin lisan” yang dipraktikkan oleh
sebahagian besar masyarakat Melayu khususnya ketika zaman perkampungan dan
pertanian merupakan bentuk kehidupan mereka
Masyarakat
Melayu lama cerdik dalam menyampaikan ‘peraturan’ dengan darjah keseriusan
berbeza dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang dikatakan berhubung
perbuatan melanggar larangan yang ditetapkan. Pensyarah Fakulti Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia (UPM), Nafii Mat, berkata pemikiran saintifik sudah
hadir dalam minda Melayu lama berdasarkan asas penciptaan pantang larang dan
peribahasa Melayu yang memaparkan unsur jisim, alam, fizik dan ekonomi sebagai
asasnya.
Tujuan
Pantang Larang
Pada
zaman dahulu, pantang larang digunakan sebagai kaedah untuk menyampaikan
pengajaran kepada masyarakat. Sesuatu peraturan yang hendak dikuatkuasakan akan
disertakan dengan pantang larang supaya mesyarakat takut untuk melanggar
peraturan tersebut. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk
dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang
larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman.
Pantang
larang diamalkan oleh masyarakat melayu dahulu juga bertujuan untuk mendidik
masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.Ia juga
diamalkan kerana pantang larang adalah seperti harta pusaka nenek moyang mereka
dan bagi mereka mereka bertanggungjawab untuk mengamalkannya dan menurunkan
tradisi itu kepada anak-anak atau cucu-cucu mereka.Di dalam sebuah pantang
larang mempunyai erti sendiri yang akan memberi manfaat dalam hidup
masing-masing.
Contoh-contoh
Pantang Larang Masyarakat Melayu
Masyarakat
Melayu merupakan masyarakat yang masih kuat berpegang pada adat dan pantang
larang. Ini mungkin kerana orang melayu ialah suatu masayarakat yang tidak
mudah melupakan unsur tradisi yang menjadi amalan zaman berzaman.
Rashiqah
Ilmi (Berita Harian,2009) mengatakan masyarakat Melayu antara bangsa yang masih
banyak terikat dengan pantang larang yang diwarisi secara turun temurun
meskipun mereka sedang menempuh kehidupan pada alaf ketiga dan sedia menerima
pembaharuan.
Pantang
Larang Pertama
“Wanita
yang baru melahirkan anak perlu melalui tempoh berpantang 44hari, jika tidak
akan menyebabkan bentan”
‘Bentan’
bermaksud berbalik sakit. Ertinya, sekiranya seseorang itu sakit
tetapi tidak menjalani rawatan yang betul atau menyalahi pantang, orang itu
akan mendapat bentan. Sakit yang pada awalnya sudah semakin sembuh akan menjadi
bertambah buruk dan melarat. Sebagai contoh, wanita yang baru melahirkan
anak perlu berpantang. Antara gejala bentan pada wanita yang baru
melahirkan ialah sakit pada ari-ari, keluar darah atau nanah dari saluran
peranakan ataupun berlaku buasir.
Wanita
selepas bersalin perlu menjalani tempoh berpantang selama 44 hari. Semasa
berpantang, segala pergerakan dan makan minum wanita baru bersalin juga perlu
dijaga. Berpantang bertujuan mengelakkan bentan. Sekiranya wanita itu tidak
memakan ubat ramuan seperti jamu dan herba, tidak bertungku dan berbengkung
serta tidak memakai pilis, wanita itu akan melarat sakitnya. Luka
dalam tubuh wanita itu memerlukan ubat dan rawatan yang betul.
Sebenarnya,
‘salah makan’ paling sering dikaitkan dengan penyakit kerana bagi masyarakat
Melayu, makanan boleh menjadi racun atau penawar. Prinsip pertama
perubatan Melayu ialah: setiap keuzuran ada sebab dan musabab. Sebab musabab
atau punca, bermula daripada manusia sendiri seperti jangkitan kuman, bakteria,
virus, dan pemakanan. Salah makan merupakan punca utama mengapa manusia
mengalami keuzuran. Berpegang pada prinsip yang sama juga, ‘salah makan’ juga
menjadi punca utama kenapa kita mengalami bentan.
Dari
sudut sains, ‘bentan’ dianggap seperti ‘infection’, ‘allergic’ atau ‘side
effect’, iaitu kesan daripada sesuatu pembedahan atau ubat yang dimakan ketika
sakit. Kesan ini juga boleh diperolehi sekiranya badan kita alah pada sesuatu
jenis makanan contohnya makanan laut yang akan menyebabkan kegatalan pada kulit
dan mata. Konsep bentan hanya difahami sepenuhnya oleh orang Melayu yang
berpegang pada adat, nilai dan budaya Melayu. Sekiranya kita
mengikut pantang larang ketika sakit, pastinya kita tidak akan mengalami
bentan.
Logiknya,
wanita yang baru melahirkan anak sememangnya perlu menjaga kesihatan diri
mereka memandangkan mereka kehilangan tenaga yang banyak dan mengalami luka sewaktu
melahirkan anak. Pantang larang yang membataskan pergerakan wanita yang baru
melahirkan anak dan melarang mereka dariapda melakukan kerja-kerja rumah adalah
bertujuan untuk memberi rehat yang sepenuhnya mereka di samping membantu proses
penyembuhan berlaku dengan lebih cepat. Selain dariapda itu, mereka juga dapat
memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya pada anak yang baru diahirkan tanpa
perlu memikirkan tugasan-tugasan rumah seperti mencuci, memasak dan sebagainya.
Pantang
Larang Kedua
“Tidak
boleh terkena hujan panas, nanti ‘keteguran’ atau ‘tersampuk’”
“Boi,
hujan panas! Cepat pulang sini!” seru ibu. Aku lantas merendahkan tubuh,
mencabut selembar ilalang, lalu menyelipkannya di daun telingaku. Aku tak
begitu paham apa gunanya, tapi aku melakukannya saja. Sebab, kata orang-orang
tua, setiap datang hujan panas, ada hantu yang berkeliaran. Namanya hantu
jaring-jaring. – Petikan Cerpen Hujan Panas dan Hantu Jaring-Jaring, Bernard
Batubara, Kalimantan Barat.
‘Keteguran’
atau ‘tersampuk’ merujuk kepada kepercayaan masyarakat Melayu berkaitan roh-roh
orang yang telah mati dan juga makhluk-makhluk halus sepeti hantu, jin dan
syaitan yang sedang berkeliaran yang
akan merasuk ke dalam tubuh manusia hingga menyebabkan orang yang
disampuk itu akan jatuh sakit. Seringkali dikaitkan dengan penyakit misteri
iaitu penyakit yang tidak mahu sembuh walaupun setelah berulang kali
mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital.
Hujan
panas seringkali turun dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Seringkali hujan
akan turun tiba-tiba di saat cuaca panas terik yang menggigit. Menurut
kepercayaan orang tua-tua, hujan panas yang turun membawa alamat bahawa suatu
perkara yang tidak diingini akan berlaku.
Mengikut
kajian saintifik, hujan memang boleh menyebabkan sakit kepala. Apatah lagi
sekiranya ubun-ubun dan kepala kita dibasahi hujan yang pertama, atau hujan
yang mula-mula turun. Secara logik, hujan awal itu membawa turun sekali
bahan-bahan toksik yang terkumpul. Itulah yang menyebabkan kepala menjadi
pening. Justeru memang tidak salah pesan orang tua-tua agar kita cepat-cepat
mencuci kepala atau membasahi atas kepala dengan air, sekiranya terkena hujan.
Rasionalnya,
terkena air hujan sewaktu cuaca yang panas memang kurang elok untuk kesihatan
kita. Ini kerana dalam keadaan cuaca panas, sudah tentulah badan kita juga akan
berada di tahap suhu yang panas. Maka apabila terkena hujan, suhu badan kita
akan menjadi tidak stabil. Ini akan menyebabkan peredaran darah kita menjadi
tidak normal dan menyebabkan badan menjadi panas atau kepala menjadi sakit.
Sebab itulah kita disarankan mandi sekiranya terkena hujan. Ini adalah
bertujuan untuk menstabilkan suhu badan kita ke tahap yang normal bagi
mengelakkan demam ataupun sakit kepala.
Pantang
Larang Ketiga
“Jangan
duduk di atas bantal, nanti akan berbisul di punggung”.
Sejak
kecil, ibu ayah dan orang tua-tua amat
menegah kita daripada duduk di atas bantal kononnya dikhuatiri akan timbul
bisul di punggung. Sememangnya anak-anak kecil suka bermain dengan bantal dan
seringkali juga menjadi bantal sebagai tempat melabuhkan punggung
masing-masing. Keempukan bantal menjadikan sebab mengapa anak-anak kecil gemar
duduk di atasnya.
Sebenarnya
kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita
meletakkan kepala sewaktu tidur. Adalah kurang sopan sekiranya kita meletakkan
punggung kita di atas bantal yang menjadi alas kepala semasa kita berbaring
atau tidur. Pantang larang ini sebenarnya mengajar anak-anak agar berlaku sopan
kerana duduk di atas bantal merupakan perbuatan kurang enak dipandang serta
agak kurang sopan. Tambahan pula sekiranya ada tetamu di rumah, adalah kurang
sopan sekiranya bantal yang diduduki oleh kita kemudiannya dihulurkan pula kepada
tetamu untuk tidur. Selain daripada itu, kebanyakan bantal adalah diperbuat
daripada kekabu. Sekiranya asyik dijadikan tempat duduk, dikhuatiri akan
menyebabkan bantal koyak seterusnya kekabu akan terkeluar dan berterabur. Ini
akan mengundang masalah yang lain pula.
Sewajarnya
pantang larang ini patut dikekalkan dan diikuti kerana jika dilihat dari sudut
nilai sememangnya pantang larang duduk di atas bantal ini mempunyai rasionalnya
yang tersirat. Penerapan nilai-nilai kebersihan, penghormatan dan sopan santun
dapat dilihat dengan jelas dalam pantang larang ini. Di zaman sekarang memang
terdapat bantal-bantal khas untuk dijadikan tempat alas duduk, jadi tidak
perlulah bantal yang digukana sebagai alas kepala pula turut sama dijadikan
alas duduk.
Pantang
Larang Keempat
“Jangan
minum air sambil makan, nanti perut buncit”
Amalan
pemakanan dan cara minum juga tidak
terlepas daripada menjadi antara aspek yang terkandung dalam pantang larang
masyarakat Melayu. Malahan amalan makan dan minum merupakan antara aspek yang
mempunyai banyak pantang larangnya. Ini
kerana makan dan minum adalah perkara yang kita lakukan setiap hari dan cara
kita makan dan minum sebenarnya sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita.
Exco Kanan Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa), Sheikh Ahmad Afiq Sheikh Yahya,
berkata kebanyakan pantang larang Melayu berkaitan dengan amalan pemakanan
kerana kesihatan setiap individu berkait rapat dengan tabiat pemakanannya.
Masyarakat
dulu tidak menggalakkan sesiapa juga
meminum air ketika makan atau dengan kata lain makan sambil berselang seli
dengan meminum air. Amalan ini dikatakan boleh menyebabkan kegemukan dan perut
menjadi buncit. Ini kerana makanan yang diambil tidak dapat hadam dengan sempurna.
Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah dalam artikel ‘Tips Menjadi Orang Yang
Cemerlang’, beliau meyarankan agar kita minum air selepas 15-30 minit selesai
makan. Beliau juga melarang meminum air semasa makan.
.
Jadi, jika dilihat dari sudut kesihatan, pantang larang ini memang wajar untuk
diikuti. Larangan ini jelas selari dengan fakta saintifik yang menunjukkan
tabiat makan sambil disulami dengan minum air akan menyusahkan proses
penghadaman berlangsung dalam diri seseorang. Ia juga akan memberi kesan kepada
tenaga kita. Di samping itu makan sambil minum air juga dipercayai boleh
melemahkan tenaga batin seseorang.
Pantang
Larang Kelima
“Jangan
memotong kuku di waktu malam, nanti akan didatangi malang”
Masyarakat
Melayu lama sentiasa bijak dalam menyelitkan tegahan dan larangan kepada
anak-anak kecil melalui pantang larang yang dinyatakan. Pantang larang memotong
kuku di waktu malam seringkali juga ditekankan di mana dikatakan bakal
didatangi malang sekiranya dilakukan. Jika dilihat dari sudut logikalnya, kita
tidak dapat melihat di mana perkaitan antara memotong kuku dengan malang yang
bakal menimpa. Tetapi seperti yang kita sedia maklum, kebanyakkan pantang
larang masyarakat Melayu sebenarnya sentiasa ada maksud yang tersirat. Pantang
larang yang dinyatakan hanya semata-mata untuk menimbulkan rasa takut dan gerun
di kalangan kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang ditegah.
Jika di lihat dari sudut
rasionalnya, larangan memotong kuku di waktu malam ada kebenaran dalam
tegahannya. Kita sedia maklum, pada zaman dahulu tiada bekalan letrik dan waktu
malam hanya diterangi cahaya lampu pelita sahaja. Maka sudah pastilah pandangan
pada waktu malam adalah tidak jelas dan samar-samar. Maka tegahan ini
sebenarnya adalah untuk mengelakkan daripada terpotong kuku secara berlebihan
ataupun melukakan jari sendiri kerana kemampuan pandangan mata yang tidak
berapa jelas.
Seiring
dengan perkembangan masa, walaupun telah ada bekalan eletrik, pantang larang
ini masih mempunyai rasional untuk diikuti. Sekalipun, terdapat cahaya dari
lampu elektrik, keadaan pada waktu malam masih tidak secerah waktu siang.
Ditambah pula dalam keadaan diri yang mulai mengantuk, juga dikhuatiri akan
melukakan jari semasa memotong kuku.