Wednesday, 27 February 2013

TEORI PEMBELAJARAN HUMANISME

2.0 TEORI PEMBELAJARAN HUMANISME

2.1 Pengenalan

Mengikut pandangan ahli psikologi humanis, fitrah manusia pada dasarnya adalah mulia dan baik. Setiap individu akan berkembang secara semulajadi sekiranya persekitaran mereka adalah sesuai. Oleh itu, guru harus mengikut keperluan pelajar, membantu mereka mempelajari ilmu pengetahuan yang mereka suka dan dianggap bermakna. Prinsip tersebut dapat dikuatkan lagi dengan setiap individu bertindak atas persekitaran masing-masing dan bebas untuk membuat pilihan dan keputusan dalam usaha membentuk dunia peribadi dan pembelajaran.

Kajian ahli psikologi humanis menyatakan bahawa pembelajaran manusia bergantung kepada emosi dan perasaan masing-masing. Selain itu, pendekatan humanis terhadap pendidikan menekankan keunikan setiap individu dengan menyatakan pandangan, pengalaman dan pendekatan terhadap pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Secara keseluruhannya, pendekatan humanis memperkatakan mengenai pendekatan berpusatkan pelajar.

Pendekatan Humanistik menekankan perasaan seseorang itu terhadap pengalaman pembelajaran. Fokus ditumpukan kepada seseorang pelajar dan memberi peluang untuk penglibatan individu secara mendalam. .Pembelajaran adalah melalui pengalaman.di mana pelajar digalak untuk bertindak sendiri untuk menemui sesuatu. Pendekatan ini mementingkan pelajar sebagai individu yang berpotensi dan menitikberatkan pembangunan sosial dan emosi individu. Secara semula jadi setiap individu ingin belajar dan menimba ilmu. Maka, murid-murid hendaklah mempunyai kawalan kendiri ke atas apa yang hendak mereka pelajari. Keberkesanan pembelajaran akan dicapai apabila pelajar mengambil inisiatif sendiri dan melibatkan diri sepenuh dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Teori humanistik, tujuan belajar adalah untuk memanusiakan manusia. proses belajar dianggap berhasil jika murid memahami lingkungannya dan dirinya sendiri. Dalam proses belajar setap murid harus berusaha agar lambat laun mereka mampu mencapai aktualisasi diri dengan sebaik-baiknya. Lima objektif asas pendidikan daripada pandangan humanistik (Gagne dan Berliner, 1991) ialah :

i. Memupuk pembelajaran arah kendiri dan tidak bergantung pada orang lain.

ii. Mengembangkan keupayaan bertanggungjawab ke atas pembelajaran dan perkara yang dipelajari.

iii. Mengembangkan kreativiti dan pemikiran bercapah.

iv. Mencungkil dan mengembangkan daya ingin tahu serta penerokaan.

v. Mengembangkan kecenderungan aspek seni dan emosi.


2.2 Prinsip-Prinsip Pendekatan Humanisme

Gagne dan Berliner (1991) merangkumkan prinsip-prinsip pendekatan humanistik seperti berikut:

i. Pelajar akan mudah belajar perkara yang ingin dipelajari dan perkara yang ingin diketahui oleh mereka.

ii. Mengetahui cara belajar adalah lebih penting daripada memiliki banyak pengetahuan.

iii. Penilaian kendiri hasil kerja pelajar merupakan penilaian yang lebih bermakna, namun pelajar perli mencapai tahap pencapaian yang ditetapkan.

iv. Perasaan adalah sama penting dengan fakta.

v. Pelajar belajar lebih baik dalam persekitaran yang tidak mengancam seperti selamat secara fizikal, emosional, psikologikal serta nyaman.

Menurut Choong Lean Keow, Carl Rogers menyatakan bahawa beliau percaya bahawa setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar. Dengan kata lain setiap individu mempunyai kecenderungan dan hasrat sendiri untuk mencapai kesempurnaan dirinya.Mereka masing-masing mempunyai keinginan yang akan mendorong mereka ke arah mencapai kesempurnaan dan kecemerlangan diri. Oleh itu, pengalaman yang dialami dan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada persekitaran mereka akan membolehkan individu masing-masing membentuk konsep kendiri, sama ada positif ataupun negatif adalah bergantung kepada ciri unsur pengaruh persekitaran tersebut.

Rogers juga menyatakan bahawa pembelajaran yang bersifat signifikan hanya akan berlaku sekiranya kandungan matapelajaran adalah sesuai dan dapat menarik minat peribadi murid untuk mempelajarinya. Oleh itu, pembelajaran yang menarik minat mereka akan lebih mudah diterima apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum. Maka pembelajaran yang berlaku adalah atas usaha murid itu sendiri adalah lebih kekal dan bermakna. Selain itu, beliau telah mengkategorikan pembelajaran kepada dua jenis iaitu:

a) Pembelajaran kognitif yang tidak berguna ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh individu tidak digunakan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian

b) Pembelajaran eksperiential ilmu pengetahuan yang diperolehi dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Menurut Mok Soon Sang pula, Abraham Harold Maslow telah mengemukakan Hirarki Keperluan Maslow. Beliau berpendapat bahawa seseorang individu akan memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memenuhi keperluan sekunder. Mengikut Maslow, kehendak manusia terbahagi lima mengikut keutamaan iaitu keperluan asas fisiologi, keselamatan, penghargaan dan kasih sayang, penghormatan kendiri seterusnya keperluan sempurna kendiri.

Maslow berpendapat motivasi dalaman akan mendorong manusia berusaha mengejar pencapaian cemerlang yang biasanya berlaku secara spontan tanpa kawalan atau ransangan luar. Apabila individu telah mendapat kepuasan dalam sesuatu hirarki, keprluan hirarki yang lebih tinggi akan berlaku secara semulajadi. Namun begitu, jika hirarki yang lebih rendah masih belum mendapat kepuasan, keperluan dalam hirarki yang lebih tinggi tidak dapt dikemdangkan dengan sewajarnya. Terdapat ramai individu sehingga akhir hayat mereka pun tidak dapat berkembang sehingga hirarki tertinggi.

2.3 Pembelajaran Menurut Teori Humanisme



Pendidikan humanisme sangat mementingkan adanya rasa kebebasan dan tanggung jawab. Teori ini mempunyai tujuan pendidikan iaitu memanusiakan manusia agar manusia mampu mengaktualisasi diri sebaik-baiknya. Aliran humanistik tidak mempunyai teori belajar khusus, tetapi hanya bersifat ekletik, yang bermaksud menggunakan teori yang sesuai (kognitif) asalkan tujuan pembelajaran tercapai. Peranan pendidik dalam pendekatan humanisme adalah sebagai fasilitator ataupun pembimbing, yang berperanan:

a) Menciptakan iklim belajar.

b) Memenui kebutuhan belajar peserta didik.

c) Membantu mengungkapkan emosi peserta didik.

d) Membantu belajar peserta didik.

Bentuk pembelajaran melalui pendekatan humanisme adalah bahawa murid dituntut untuk selalu memotivasi diri. Untuk mencapai ke arah itu kegiatan belajar hendaknya mendorong murid-murid untuk belajar cara-cara belajar dan menilai belajarnya sendiri. Program pembelajaran yang diterapkan dalam pendekatan humanisme umumnya menggunakan kegiatan terbuka di mana murid-murid harus mendapatkan informasi, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menghasilkan kejayaan sendiri. Dalam pendidikan humanisme, murid-murid tidak memiliki tempat duduk yang tetap seperti pendidikan konvensional. Murid-murid dapat belajar secara kendiri atau belajar secara berkumpulan.

2.4 Tokoh-Tokoh Pendekatan Humanisme

Terdapat beberapa tokoh terkenal yang mempelolpori teori humanisme ini.Antara tokoh-tokon humanistik termasuklah Carl Rogers, Abraham Maslow, John Holt, Malcolm Knowles dan lain-lain. Tetapi di antara tokoh-tokoh tersebut, dua orang tokoh utama bagi pendekatan humanisme iaitu Carl Rogers dan Abraham Maslow. Di sini akan dibincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dua tokoh utama ini.

2.4.1 Carl Rogers

Nama sebenarnya ialah Carl Ransom Rogers, telah dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois. Carl Rogers dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kuat disiplin, berpegang kuat pada agama dan bermoral tinggi. Carl Rogers adalah satu – satunya pakar yang amat mementingkan manusia sebagai manusia, dan menyangkal keras pandangan yang melihat manusia sebagai objek yang boleh dimanipulasi sama ada dari dalam atau luar. Beliau juga mementingkan perkembangan manusia yang positif dan melihat semua manusia sebagai entiti – entiti yang baik dan mulia. Semua tingkah laku mereka didorong oleh pencapaian kesempurnaan kendiri.

Carl R. Rogers adalah seorang ahli psikologi humanistik yang gagasan-gagasannya berpengaruh terhadap pemikiran dan amalan psikologi di semua bidang, Rogers mengutarakan pendapat tentang prinsip-prinsip belajar yang humanistik, yang meliputi hasrat untuk belajar, pembelajaran yang bermakna, belajar tanpa ancaman, belajar atas inisiatif sendiri, dan belajar untuk perubahan (Rumini,dkk. 1993).

Menurut Rogers, manusia mempunyai naluri untuk belajar.Hal ini terbukti dengan tingginya rasa ingin tahu anak apabila diberi kesempatan untuk mengeksplorasi persekitarannya. Dorongan ingin tahu untuk belajar ini merupakan persepsi dasar pendidikan humanistik. Di antara ciri-ciri Teori Pembelajaran Carl Rogers ialah:

• Pengalaman individu adalah fenomena-logikal yg dialami oleh individu sendiri.

• Setiap individu mempunyai kecenderungan dan hasrat sendiri untuk mencapai kesempurnaan kendiri.

• Setiap individu membentuk konsep kendiri yg unik melalui sistem nilai dan kepercayaan yg berbeza dgn org lain.

• Tingkah laku yg ditunjukkan adalah selaras dengan konsep kendiri dan keupayaannya.

• Kefahaman tingkah laku individu hanya diperoleh melalui proses komunikasi,

Prinsip-prinsip pendekatan Teori Pembelajaran Carl Rogers antara lainnya ialah mengutamakan pendidikan berpusatkan pelajar dan prinsip pembelajaran berasaskan kebebasan (freedon to learn). Di dalam kelas berasaskan teori pembelajaran Carl Rogers, murid-murid diberi kesempatan dan kebebasan untuk memenuhi perasaan ingin tahunya, untuk memenuhi minatnya dan untuk mencari apa yang penting dan bererti tentang dunia di sekitarnya. Antara prinsip-prinsp pembelajarannya yang lain ialah :

i. Pembelajaran merupakan sesuatu jenis naluri ingin tahu

ii. Pembelajaran hanya boleh berlaku jika bahan pelajaran adalah bermakna serta seiras dengan objektif pelajaran pelajar

iii. Keberkesanan pembelajaran hanya dapat dicapai dibawah situasi pendidikan yang kurang berancam

iv. Keberkesanan pembelajaran hanya dapat dihasilkan apabila pelajar mengambil inisiatif sendiri dan melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran

v. Membimbing pelajar supaya menilai hasil pembelajaran dirinya, demi mempertingkatkan pemikiran reflektif dan kemahiran kreatifnya.

vi. Aktiviti P&P hendaklah dikaitkan dengan hidup nyata untuk memupuk kemahiran hidup pelajar.


2.4.2 Abraham Maslow

Abraham Maslow dilahirkan di Rusia dan kemudiannya menetap di Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang ahli psikologi yang terkenal dengan Hirarki Keperluan yang diperkenalkan pada tahun 1947 hingga 1954, dan telah diterbitkan dalam Motivation and Personality pada tahun 1954. Beliau juga digelar sebagai Bapa Psikologi Humanistik. Abraham H. Maslow merupakan tokoh yang menonjol dalam psikologi humanistik. Teorinya iaitu Teori Keperluan Maslow dapat diterima pakai dan sebahagian dari teorinya yang penting dijadikan asas persepsi bahawa dalam diri manusia terdapat dorongan positif yang berkembang dan terdapat kekuatan-kekuatan yang melawan atau menghalangi pertumbuhan (Rumini, dkk. 1993).

Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintergrasi dan penyusuan keseluruhan. Contohnya, seorang insan yang lapar, ianya bukan sebahagian daripada diri individu tersebut, sebaliknya keseluruhan diri individu menunjukkan rasa lapar. Teori Maslow ini ada berkaitan dengan personaliti, dan menitikberatkan beberapa andaian yang berkaitan dengan motivasi. Beliau menekankan keseluruhan diri individu bergerak, bukan hanya sebahagian daripada individu.

Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yan diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan generasi.

Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu. Maslow sering mengaitkan perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir dari keperluan yang diperolehi oleh setiap individu. Maslow berpendapat sebilangan keperluan dalaman yang menggerak serta mengarahkan perlakuan yang dipamerkan oleh individu. Keperluan yang ditunjukkan oleh Maslow boleh dilihat dalam bentuk hieraki. Menurut beliau keperluan di tahap yang paling bawah/keperluan fisiologi harus dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang individu memikirkan tahap kedua. Dengan kata lain keperluan di peringkat kedua tidak akan wujud jika keperluan diperingkat pertama tidak mencapai tahap kesempurnaan.

Maslow memecahkan tahap keperluan manusia kepada 5 tahap iaitu keperlian fisiologi, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri, dan kesempuurnaan kendiri. Keperluan manusia yang paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan udara, air, makanan dan tempat tinggal bagi memenuhkan kehendak pertama dan utama ini. Pada masa ini, keperluan lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi kehendak asas ini dipenuhi.

Setelah keperluan ini dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan masyarakat, undang – undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Dalam memenuhkan keperluan kasih sayang pula, manusia perlukan hubungan dengan insan lain. Kita semua pada asasnya ialah haiwan yang bersosial, iaitu kita perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian.

Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu berkuasa, sekurang – kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup. Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai kesempurnaan kendiri. Semua tahap kehendak sebelum ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu inginkan kesempurnaan kendiri.


2.5 Implikasi Teori Humanistik Ke Atas Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Imlplikasi Teori Pembelajaran Humanistik ialah dapat membentuk suasana bilik darjah yang kondusif dengan menjalankan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran agar mereka merasa seronok, gembira dan harmonis dan selamat untuk melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Selain daripada itu, guru dapat memupuk nilai penghargaan kendiri di kalangan pelajar serta memberi motivasi dan peneguhan yang sesuai supaya mereka sentiasa bersungguh-sungguh dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Guru perlu merancang aktiviti pengajaran mengikut kebolehan pelajar dengan tujuan meningkatkan keyakinan mereka, dan seterusnya meningkatkan peluang memenuhi keperluan penyuburan mereka iaitu kesempurnaan kendiri, memperoleh ilmu pengetahuan, menikmati dan menghasilkan karya atau ciptaan estetik yang bermutu tinggi. Nilai motivasi diri murid juga perlu dipupuk melalui bimbingan supaya pelajar memahami diri, menerima diri, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sosial, dan seterusnya menentukan aktualisasi kendiri, iaitu arah hidup dan masa depan sendiri mengikut perkembangan potensinya yang tertinggi.

Sebagai pembimbing ataupun fasilitator, guru hendaklah membantu pelajar mengambil bahagian dalam kerja kumpulan terutama pembelajaran koperatif dengan tujuan membina kemahiran sisial dan afektif. Mengimbangkan komponen intelek dan emosi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah menjadi role model dan menunjukkan contoh yang baik bagi sikap, kepercayaan dan kebiasaan yang ingin ditanamkan oleh guru dalam diri pelajar. Guru hendaklah bersifat penyayang untuk memenuhi keprluan kasih sayang. Guru hendaklah berkongsi perasaan, idea dan fikiran dengan pelajar


2.6 Implikasi Teori Humanisme Ke Atas Proses Pengajaran dan Pembelajaran Murid Berkeperluan Khas

Bagi murid bermasalah pengihatan, berikan gambaran yang jelas tentang bilik darjah dan sekolah. Guru hendaklah membawa kanak-kanak tersebut berjalan di persekitaran sekolah dan terangkan kepadanya apa yang dilihat. Semasa memandu arah, benarkan pelajar tersebut memegang anda. Gunakan tulisan yang kasar-kasar apabila menulis di papan tulis dan menggalakkan juga supaya kanak-kanak lain melakukan perkara yang sama. Kanak-kanak yang menghadapi masalah penglihatan banyak belajar melalui deria sentuh, dengar dan hidu. Malah ada di antara mereka menjilat objek / benda yang baru baginya. Biarkanlah kanak-kanak itu menggunakan caranya untuk belajar tetapi guru perlulah mengawasinya.

Untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran, bahan-bahan, teknik, kaedah, teknologi pengajaran dan pembelajaran perlu disedia dan diubahsuai mengikut keprluan individu. Gerak kerja serta aktiviti-aktiviti latihan dan pengukuhan perlu digred berpadanan dengan keupayaan individu dengan merujuk kepada Rancangan Pengajaran Individu (R.P.I). Kerjasama dan interaksi yang baik dengan murid-murid serta guru-guru kelas boleh meningkatkan usaha dan kerja-kerja pemulihan.Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran biasanya memerlukan aktiviti berstruktur. Aktiviti ini perlulah dirancang dengan teliti mengikut langkah-langkah kecil untuk membolehkan murud menguasai konsep atau kemahiran langkah demi langkah

Manakala bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran, guru perlulah mengajar mereka cara-cara untuk menyampaikan buah fikiran, menyatakan keperluan, dan melepaskan perasaan. Mereka boleh berkomunikasi dengan cara lain juga iaitu bahasa isyarat. Kanak-kanak ini biasanya mudah meradang. Mereka sukar menumpukan perhatian pada sesuatu perkara dengan agak lama. Maka, guru pelulah kreatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Antaranya guru boleh menggunakan tangan, mimik muka, gerak badan, menulis dan bercakap. Guru perlu mengajar murid bacaan bibir supaya mereka mudah membaca pertuturan bibir

No comments:

Post a Comment