Wednesday 27 February 2013

KENALI AUTISME - SUBJEK PENGENALAN PENDIDIKAN KHAS

DEFINISI AUTISME

Leo Kanner ( 1948 ) menyatakan autisme bermakna kekurangan seumur hidup dan dikenalpasti pada umur 8 hingga 30 bulan. Kanner juga menyifatkan kanak-kanak ini sebagai menyendiri dan terasing, berupaya untuk berkomunikasi dengan pengulangan pertuturan, tertarik dengan objek bukan hidup serta tidak dapat bertolak ansur dalam perubahan rutin harian.

Michael ( 1990 ) menyatakan bahawa perkataan autisme berasal daripada bahasa Yunani iaitu perkataan ’ autos ’ yang bermakna self atau diri atau seseorang. Autisme sebenarnya merujuk kepada ketidakupayaan kanak-kanak autistik untuk memahami perkara di sekelilingnya selain daripada dirinya sendiri.

Ungku A. Halim ( 1996 ), berpendapat autisme sebagai perkembangan yang memberi kesan seumur hidup terhadap pemahaman individu berkaitan apa yang dilihat, didengar atau dialami. Ini menyebabkan berlakunya masalah berkaitan perhubungan sosial, komunikasi dan tingkahlaku.

Hallahan dan Kauffman ( 1997 ), mengatakan autisme merupakan satu kecelaruan yang bercirikan pengasingan diri, tingkahlaku mencederakan diri, masalah kognitif, masalah bahasa dan kelihatan sebelum umur 30 bulan.

Blackburn ( 1997 ) pula berpendapat autisme merupakan kecelaruan dalam perkembangan otak tetapi sama seperti disleksia, mental retardasi tetapi ia bukanlah satu kerencatan akal walaupun ramai individu autistik menunjukkan fungsi seperti mengalami kerencatan tetapi biasanya mereka lebih pintar.

Manakala Trevarthen, Aitken, Papoudi dan Robarts ( 1998 ), menyatakan perkataan autism merupakan gabungan dua huruf Greek iaitu ’ aut ’ yang bermakna diri dan ’ ism ’ yang bermaksud orientasi atau keadaan. Maka autisme boleh didefinisikan sebagai keadaan seseorang yang tidak biasa dalam dirinya. Hal ini menunjukkan bagaimana kanak-kanak autistik gagal untuk menunjukkan minat terhadap orang lain tetapi tidak mempunyai beberapa ciri tingkahlaku yang lain.

Kesimpulannya autisme merupakan ketidaksempurnaan dalam perkembangan otak dan memperlihatkan ciri kanak-kanak yang kelihatan terasing, menyendiri dan tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Autisme mengganggu bahagian di dalam otak yang menguasai kefahaman emosi dan komunikasi secara langsung atau tidak langsung dan keupayaan bersosial termasuk pergaulan.


SEJARAH AUTISME

Eugen Blueler merupakan orang yang pertama menggunakan perkataan atau istilah ‘ autism ‘ pada tahun 1919. Perkataan ini merujuk kepada kurang atau tiada perhubungan dengan orang lain dan dunia luar. Hari ini, istilah autism merujuk kepada development disorder atau masalah perkembangan.

Pada tahun 1943, Dr. Leo Kanner seorang ahli psikologi telah menyatakan autisme sebagai satu sindrom kumpulan tingkahlaku yang unik. Kanner melihat autisme sebagai masalah gangguan afektif, gangguan persepsi, gangguan linguistik , gangguan kognitif dan gangguan komunikasi ( Corbertt, 1998 ). Dr. Leo Kanner juga menulis artikel pertama mengenai autisme pada tahun 1943 yang bertajuk ‘ Autistic Disturbances of Affective Contact ‘.

Pada tahun berikutnya Dr. Asperger, seorang psikatri Jerman menyatakan jenis kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama di dalam kertas kerjanya. Bahkan dalam tesis kedoktorannya yang diterbitkan pada tahun 1944, Asperger telah membincangkan mengenai empat kanak-kanak yang luar biasa daripada aspek masalah sosial, tiada pemahaman interpersonal, menunjukkan pelbagai perkembangan kognitif, linguistik dan tidak mempedulikan apa yang dilakukan. Istilah ‘ autistic psychopathy ‘ digunakan oleh Asperger untuk menerangkan keadaan masalah personaliti. Asperger mengemukakan ciri-ciri kanak autisme seperti tidak memandang mata, tiada ekspresi, melakukan pergerakan tubuh yang sama berulangkali, tidak bersemangat untuk belajar, terdapat bidang tertentu yang diminati dan membuat perkataan sendiri
( Myles & Simpson ).

Sejarah membuktikan bahawa autisme bukanlah perkara baru. Pada tahun 1799, kisah Victor iaitu seorang kanak-kanak berusia lebih kurang sebelas tahun yang dikenali sebagai ‘ Wild boy of Aveyron ‘ ditangkap semasa berada dalam hutan di selatan Perancis dan kemudiannya dibawa ke Paris untuk ditempatkan di satu institusi orang-orang pekak. Dr. Jean Marc Gaspard Itard telah menerima dan berusaha mengajar Victor dengan menyediakan bahan bantu mengajar khas dan menjadi pelopor kepada pendidikan khas ( Trevarthen, Aitken, Papoudi & Roberts, 1998 )

Berdasar pemerhatian Dr. Itard, terdapat beberapa ciri abnormal pada Victor iaitu tidak bercakap, menghayun badan ke depan dan belakang, tidak menunjukkan perasaan dan pertautan dengan sesiapa pun, tidak menumpukan perhatian kepada sesuatu, tidak memandang objek atau orang dan tiada reaksi walaupun dilepaskan tembakan di belakang kepalanya tetapi memberi reaksi apabila terdengar bunyi kulit kacang dipecahkan walaupun dipecahkan secara perlahan.

Ciri-ciri lain yang dimiliki oleh Victor ialah tidak suka bermain dengan alat permainan tetapi ketawa apabila bermain dengan air dan tidak sukakan perubahan terutamanya dari segi objek dan susunan barang. Namun begitu, Victor mempunyai daya ingatan yang amat kuat dan menunjukkan reaksi sentuh kain, tangan dan muka mereka yang dikenalinya ( Paluszny, 1979 ). Pada tahun 1801, Dr. Itard menyatakan bahawa semua ciri yang diperlihatkan oleh Victor mempunyai persamaan dengan ciri-ciri autisme.

Pada 30 April 1812 pula, lahirnya kanak-kanak yang bernama Kasper Hausert serta menjadi satu lagi bukti sejarah tentang autisme. Kasper mempunyai ketinggian 4 kaki 9 inci. Pada tahun 1828, Kasper ke Nurenberg dengan membawa surat memohon kepada ketua askar untuk menerimanya berkhidmat untuk Raja. Kasper telah mengucapkan kata-kata “ I want to be a horseman like

my father was “ dan mengulanginya berulangkali seperti telah dilatih. Kasper memperlihatkan ciri-ciri seperti tidak mampu berkomunikasi, tidak memahami apa yang diucapkan kepadanya, suka kawasan yang gelap dan alat-alat permainan. Sebaliknya Kasper juga mempunyai keupayaan lain seperti berupaya menurut perintah, minat terhadap aktiviti menulis dan melukis serta mempunyai daya ingatan yang tinggi (Frith, 1993 ). Maka jelas di sini bahawa Kasper juga memiliki ciri-ciri yang sama dengan kanak-kanak autisme.

Ringkasnya autisme ini mula dikesan dan dikenali pada abad ke-18 iaitu pada tahun 1799 seorang budak liar yang bernama Victor dijumpai di dalam hutan dan mempunyai tingkahlaku yang ganjil serta suka bersendirian. Victor mempunyai gangguan berinteraksi dengan orang lain. Kebiasaannya autisme mengganggu bahagian di dalam otak seseorang kanak-kanak terutama di bahagian yang menguasai kefahaman emosi, komunikasi secara langsung dan tidak langsung.


SEJARAH PERKEMBANGAN AUTISME DI MALAYSIA

Satu jawatankuasa telah ditubuhkan pada 30 Jun 1981 iaitu Jawatankuasa Perancangan Pendidikan di mana satu rundingan telah diadakan dengan Kementerian Masyarakat.

Pada tahun 1988, Kementerian Pendidikan telah mengambil alih tanggungjawab khususnya dalam pendidikan terhadap kanak-kanak autisme.

Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia atau NASOM telah ditubuhkan pada 11 Julai 1986 di bawah akta pertubuhan 1966 yang didaftarkan pada 3 Mac 1987. NASOM telah membuka sebuah sekolah khusus untuk kanak-kanak autisme. Sekolah tersebut terletak di Jalan Chan Chan Mooi, Setapak, Kuala Lumpur. Persatuan ini merupakan pertubuhan yang pertama di Malaysia dan di negara ASEAN.


KADAR KEJADIAN AUTISME

Statistik sebelum ini menunjukkan bahawa kadar kejadian autisme adalah 4 hingga 5 kejadian daripada 10000 kelahiran. Tinjauan ini telah dijalankan di Amerika Syarikat dan England.
Edelson ( 1999 ), menyatakan bahawa autisme terjadi tiga kali lebih kerap kepada kanak-kanak lelaki beranding perempuan. Perbezaan jantina ini tidak unik kepada autisme kerana banyak masalah perkembangannya mempunyai tingkat yang tinggi kepada lelaki berbanding wanita.

Frith ( 1993 ) pula menyatakan kanak-kanak autistik perempuan didapati mengalami masalah yang serius pada setiap bidang yang diuji beranding kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan dengan IQ 40, lemah dalam kemahiran urus diri, teruk dalam bahasa dan ujian persepsi. Namun bukanlah kanak-kanak perempuan lebih autistik daripada lelaki tetapi mereka mempunyai tambahan masalah yang teruk.

Rutter dan Lockyer yang telah membuat kajian selama sepuluh tahun di London menunjukkan kadar terencat teruk iaitu IQ yang kurang daripada 50 adalah 40%, terencat sederhana iaitu IQ antara 50 hingga 70 pula 30% dan 30% lagi mempunyai IQ yang lebih daripada 70. Sebahagian daripada kumpulan akhir ini boleh dianggap normal.

Freeman dan kumpulannya telah membuat kajian dan mendapati tiga daripada empat kanak-kanak autistik menunjukkan kerencatan akal sebagai tambahan kepada ciri-ciri autism.

Frith ( 1993 ) menyatakan bahawa walaubagaimana baik dan berkebolehan sekalipun kanak-kanak autistik , mereka tidak mencapai tahap yang lebih baik daripada apa yang boleh dicapai oleh kanak-kanak normal.

Kesimpulannya, kanak-kanak autisme mengalami kecacatan serius dalam aspek pengendalian tingkahlaku. Walaubagaimana pun satu pertiga daripada kanak-kanak ini boleh dilatih untuk berdikari manakala sebahagian besarya masih memerlukan pengawasan sepanjang hidup. Kanak-kanak ini beransur baik selepas umur meningkat dewasa dan ada juga yang menjadi kanak-kanak normal apabila semakin dewasa.

Berikut merupakan anggaran peratus tahap berfungsi kanak-kanak autisme :

1% - 5% : menjadi biasa kembali dan boleh berdikari

15% : menunjukkan kemajuan semasa remaja

25% : boleh bekerja dalam pengawasan rapi

55% : perlu pengawasan rapi sepanjang hayat


MENGESAN AUTISME

1. Diagnosis

Beberapa pakar telah bercanggah pendapat mengenai pengidap autisme tetapi yang paling penting ialah :

- Peringkat permulaan adalah sebelum berumur 3 tahun dan biasanya jelas kelihatan dalam peringkat umur 2 tahun.

- Menghadapai masalah interaksi sosial

- Aktiviti luar biasa yang mengasyikkan dan obsif dengan kesamaan

( abnormal self-stimulatory behaviour and absessive with sameness )

2. Kajian bilangan kanak-kanak autisme di negara Australia menganggarkan seramai 24 000 manakala di Malaysia lebih 4000 yang mengidap autisme tulen dan 13 000 kanak-kanak autisme yang mempunyai masalah-masalah tertentu.



PUNCA AUTISME

Sememangnya tidak diketahui punca tertentu yang menyebabkan autisme. Namun begitu terdapat bukti yang semakin bertambah kerana pelbagai masalah yang timbul.

Autisme merupakan satu keadaan yang kompleks dan ianya berpunca dari beberapa faktor antaranya :

1. Genetik ( Baka )

Pengaruh genetik menunjukkan bahawa kembar seiras ( monozygotic twins ) lebih cenderung untuk mendapat autisme berbanding kembar tidak seiras (dizygotic twins). Banyak kajian dijalankan memfokuskan kepada gen autisme dan pengkaji cenderung berpendapat bahawa tiga hingga lima gen boleh dikaitkan dengan autisme. Terdapat juga bukti gen yang dikaitkan dengan sistem imunisasi yang lemah 
( Edelson, 1999 )


2. Organik ( Kerosakan pada otak )

Kerosakan pada otak yang berpunca daripada pengambilan pil thalidomide untuk mengatasi masalah ” morning sickness ” oleh ibu yang hamil. Kajian Miler dan Stromland mendapati bahawa 5% daripada mangsa thalidomide adalah autistik dan dari segi peratus ianya 30% lebih berbanding populasi umum
 ( Rodier, 2000 ).


3. Biokimia ( Gangguan metabolisme )

Termasuk ’ beta endorphin ’ yang menyekat perkembangan mental kanak-kanak.


4. Imunulogi ( Human Leucocyte Antigen / HLA )

5. Alam Sekeliling ( Congenital Rubela, Birth Trauma dan lain-lain ). Kehadiran virus menjadi punca kepada autisme. Rubella yang dijangkiti semasa tiga bulan pertama kandungan meningkatkan risiko mendapat anak autisme. Virus Cytolomegalo juga dikaitkan dengan autisme sehingga meningkatkan kebimbangan bahawa suntikan imunisasi boleh menyebabkan autisme ( Edelson, 1999 )

6. Kekurangan oksigen semasa proses kelahiran

7. Proses kelahiran secara paksaan iaitu ” vacuum extraction ”.

8. Gangguan neuro transmitter dalam sistem saraf dan

9. Infeksi neurologikal.







No comments:

Post a Comment