Definisi
dan Konsep Prabacaan
Prabacaan
ialah tahap penyediaan murid-murid untuk membaca di mana guru perlulah
menyediakan pengalaman bahasa iaitu mengenal dan mengecam huruf. Murid perlu
didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong murid-murid dalam
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi membentuk
kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.
Kemahiran
Prabacaan merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap kanak-kanak
sebelum mempersiapkan diri untuk membaca. Sepertimana kita memanaskan badan
sebelum memulakan sebarang aktiviti bersukan, maka begitu juga halnya dengan
kemahiran prabacaan. Kemahiran prabacaan ibarat sesi memanaskan badan sebelum
kanak-kanak dapat membaca. Kanak-kanak perlu disediakan mindanya untuk membaca.
Proses Prabacaan merupakan langkah penyediaan minda kanak-kanak untuk
meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka untuk membaca.
Semasa
proses prabacaan, guru perlulah menyediakan pengalaman bahasa , iaitu mengenal
dan mengecam huruf. Murid perlu didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong
murid-murid dalam mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Prabacaan perlu dimulakan di peringkat awal kerana
seorang kanak-kanak mampu membaca di peringkat awal sekiranya diberi pendedahan
lebih awal. Kebanyakan kemahiran Prabacaan diperolehi oleh kanak-kanak secara
tidak langsung sepanjang tempoh perkembangan mereka.
Menurut
Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996, didapati 79% kanak-kanak 5-9 tahun
boleh membaca. Ini menjadi bukti yang kanak-kanak boleh membaca di peringkat
awal. Menurut Donahue (1992), kanak-kanak yang berumur tiga hingga enam tahun
perlu diberi galakan mengembangkan bahasa mereka melalui aktiviti lisan, cerita
dan nyanyian. Selain dari itu, mereka juga memerlukan bimbingan dalam kemahiran
pratulis dan prabacaan.
Kepentingan
Prabacaan
Prabacaan
merupakan langkah kesediaan murid untuk membaca. Pada peringkat awalnya,
kesediaan membaca ditakrifkan sebagai satu peringkat bagi menyediakan
kanak-kanak untuk bacaan awal atau bacaan asas. Pada tahap ini, murid
didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Konsep kesediaan
membaca bukan sahaja meliputi pengajaran kemahiran-kemahiran sebelum bacaan,
tetapi juga merangkumi setiap kemahiran sebelum kemahiran membaca secara khusus
dan berterusan.
Untuk
mencapai kemahiran-kemahiran tersebut, aktiviti prabacaan perlu diterjemahkan
kepada aktiviti yang meliputi pengajaran dan pembelajaran seperti mengecam
persamaan dan perbezaan bunyi, mendengar dan membezakan nama huruf, mengecam
dan mengajuk persamaan dan perbezaan bunyi huruf, membina suku kata, membaca
perkataan dan diikuti dengan membaca ayat mudah dan rangkai kata. Selain
daripada itu, aktiviti permainan huruf, suku kata dan perkataan untuk
mengukuhkan lagi kemahiran tersebut. Guru hendaklah menjalankan aktiviti
melukis garisan-garisan tertentu yang menyerupai huruf. Garisan-garisan ini
hendaklah dimulakan dengan garisan lurus atau bentuk-bentuk yang seimbas dengan
huruf yang diperkenalkan kepada murid.
Kandungan
objektif pengajaran prabacaan mempunyai kesamaan dengan aktiviti kesediaan
membaca (Aukerman, 1971). Beliau telah mengenal pasti enam program yang
spesifik untuk menggalakkan kesediaan membaca iaitu mengenal nama huruf,
belajar bunyi huruf dan membaca seluruh perkataan, mendapatkan pengalaman
membaca, kemahiran berkomunikasi dan mendengar puisi.
Kesediaan
Membaca
Kesediaan
membaca merujuk kepada kemahiran membaca pada peringkat awal kanak-kanak.
Penyelidik-penyelidik dalam bidang ini menerangkan aspek kesediaan membaca
melalui istilah yang berbeza seperti “kemunculan bacaan” atau emergent literacy
(Sulzby, 1991), kesediaan membaca (Downing & Thackray, 1975; Fortson, L. R.
& Reiff, J. C., 1995; Yeo 2004, 2006, etc.), teachable moment perihal
membaca (Dechant (1991), dan kesediaan bersekolah (Kagan, 1992). Biar apa
sekalipun istilahnya, kesediaan membaca pada dasarnya dikaitkan dengan
kemampuan dan keupayaan membaca dalam kalangan murid-murid prasekolah, iaitu
peringkat sebelum memasuki alam persekolahan.
Kata
orang bijak pandai, “Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan
dan penulisan.” Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari
usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan
kepada keluarga. Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan
mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan
suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang
menarik. Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi. Aktiviti prabacaan
perlu dimulakan di peringkat yang lebih awal sepertimana puisi lama yang
menyebut:
“Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab”
Puisi
ini jelas menunjukkan bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu didedahkan dengan
aktiviti prabacaan di peringkat awal, diibaratkan seperti sebelum bayi tumbuh
gigi lagi. Itulah gambaran positif masyarakat Melayu yang menekankan
kepentingan membaca perlu dimulakan di peringkat awal. Puisi ini jelas
menyokong bahawa kesediaan membaca adalah bermula di peringkat kanak-kanak
masih bayi lagi.
Syed
Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu
peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi
kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan peglihatan, aktviti
koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa
pertuturan. Peringkat bacaan pula meliputi kemahiran mengenal abjad hingga
membaca ayat.
Menurut
Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly, Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan
satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan kata lain, makna istilah
tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini, murid
didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka
mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran.
Bagaimanapun
setiap kanak-kanak mempunyai tahap kesediaan membaca masing-masing. Sebagai
guru dan ibu bapa, kita perlu sedar bahawa tahap kesediaan membaca bagi setiap
kanak-kanak adalah tidak sama. Kesediaan membaca bagi kanak-kanak adalah di
pengaruhi oleh beberapa faktor. Secara khusus, untuk kanak-kanak yang belum
didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi
kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas.
Syed
Abu Bakar Syed Akil dalam bukunya Panduan Mengajar Kemahiran Membaca (1994)
menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika
tahap ini tidak dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran
membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk
kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.”
Beliau
berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi
yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka.
Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak dan
berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut
urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan.
Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, cuma bentuknya berbeza.
No comments:
Post a Comment