Thursday, 28 February 2013

PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU - SUBJEK EDU3106


PANTANG LARANG MASYARAKAT MELAYU

Pengenalan

Pantang larang orang Melayu merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Menurut Sheikh Othman bin Seikh Salim (eds.) dalam Kamus Dewan Edisi Yang Ketiga (hlm. 975), pantang larang secara ringkasnya bermaksud suatu kepercayaan yang meliputi dari sejak manusia itu dilahirkan sehinggalah manusia itu dewasa dan akhirnya meninggal dunia. Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Siti Nor Awang, menafsir pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dulu sebagai panduan hidup mengenai perkara yang boleh dilakukan, larangan dan wajar.

Menurut Arni Binti Johan dalam Aktivis Jurnal Akademik Jilid V1 2006 – Budaya dan Ilmu (hlm. 49), pantang larang lebih merupakan khazanah budaya dunia terbina daripada pengalaman hidup yang lalu. Pengalaman ini mendukung nilai yang tinggi kerana paling tidaknya pengalaman ini dapat dijadikan panduan, pedoman atau contoh teladan dalamkehidupan masa kini. Pantang larang ini merupakan salah satu bentuk “disiplin lisan” yang dipraktikkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu khususnya ketika zaman perkampungan dan pertanian merupakan bentuk kehidupan mereka

Masyarakat Melayu lama cerdik dalam menyampaikan ‘peraturan’ dengan darjah keseriusan berbeza dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang dikatakan berhubung perbuatan melanggar larangan yang ditetapkan. Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nafii Mat, berkata pemikiran saintifik sudah hadir dalam minda Melayu lama berdasarkan asas penciptaan pantang larang dan peribahasa Melayu yang memaparkan unsur jisim, alam, fizik dan ekonomi sebagai asasnya.


Tujuan Pantang Larang         

Pada zaman dahulu, pantang larang digunakan sebagai kaedah untuk menyampaikan pengajaran kepada masyarakat. Sesuatu peraturan yang hendak dikuatkuasakan akan disertakan dengan pantang larang supaya mesyarakat takut untuk melanggar peraturan tersebut. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman.

Pantang larang diamalkan oleh masyarakat melayu dahulu juga bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.Ia juga diamalkan kerana pantang larang adalah seperti harta pusaka nenek moyang mereka dan bagi mereka mereka bertanggungjawab untuk mengamalkannya dan menurunkan tradisi itu kepada anak-anak atau cucu-cucu mereka.Di dalam sebuah pantang larang mempunyai erti sendiri yang akan memberi manfaat dalam hidup masing-masing.


Contoh-contoh Pantang Larang Masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang masih kuat berpegang pada adat dan pantang larang. Ini mungkin kerana orang melayu ialah suatu masayarakat yang tidak mudah melupakan unsur tradisi yang menjadi amalan zaman berzaman.

Rashiqah Ilmi (Berita Harian,2009) mengatakan masyarakat Melayu antara bangsa yang masih banyak terikat dengan pantang larang yang diwarisi secara turun temurun meskipun mereka sedang menempuh kehidupan pada alaf ketiga dan sedia menerima pembaharuan.


Pantang Larang Pertama

“Wanita yang baru melahirkan anak perlu melalui tempoh berpantang 44hari, jika tidak akan menyebabkan bentan”

‘Bentan’ bermaksud berbalik sakit.  Ertinya, sekiranya seseorang itu sakit tetapi tidak menjalani rawatan yang betul atau menyalahi pantang, orang itu akan mendapat bentan. Sakit yang pada awalnya sudah semakin sembuh akan menjadi bertambah buruk dan melarat. Sebagai contoh, wanita yang baru melahirkan anak perlu berpantang.  Antara gejala bentan pada wanita yang baru melahirkan ialah sakit pada ari-ari, keluar darah atau nanah dari saluran peranakan ataupun berlaku buasir.

Wanita selepas bersalin perlu menjalani tempoh berpantang selama 44 hari. Semasa berpantang, segala pergerakan dan makan minum wanita baru bersalin juga perlu dijaga. Berpantang bertujuan mengelakkan bentan. Sekiranya wanita itu tidak memakan ubat ramuan seperti jamu dan herba, tidak bertungku dan berbengkung serta tidak memakai pilis, wanita itu akan melarat sakitnya.  Luka dalam tubuh wanita itu memerlukan ubat dan rawatan yang betul. 

Sebenarnya, ‘salah makan’ paling sering dikaitkan dengan penyakit kerana bagi masyarakat Melayu, makanan boleh menjadi racun atau penawar.  Prinsip pertama perubatan Melayu ialah: setiap keuzuran ada sebab dan musabab. Sebab musabab atau punca, bermula daripada manusia sendiri seperti jangkitan kuman, bakteria, virus, dan pemakanan. Salah makan merupakan punca utama mengapa manusia mengalami keuzuran. Berpegang pada prinsip yang sama juga, ‘salah makan’ juga menjadi punca utama kenapa kita mengalami bentan.

Dari sudut sains, ‘bentan’ dianggap seperti ‘infection’, ‘allergic’ atau ‘side effect’, iaitu kesan daripada sesuatu pembedahan atau ubat yang dimakan ketika sakit. Kesan ini juga boleh diperolehi sekiranya badan kita alah pada sesuatu jenis makanan contohnya makanan laut yang akan menyebabkan kegatalan pada kulit dan mata. Konsep bentan hanya difahami sepenuhnya oleh orang Melayu yang berpegang pada adat, nilai dan budaya Melayu.  Sekiranya kita mengikut pantang larang ketika sakit, pastinya kita tidak akan mengalami bentan.

Logiknya, wanita yang baru melahirkan anak sememangnya perlu menjaga kesihatan diri mereka memandangkan mereka kehilangan tenaga yang banyak dan mengalami luka sewaktu melahirkan anak. Pantang larang yang membataskan pergerakan wanita yang baru melahirkan anak dan melarang mereka dariapda melakukan kerja-kerja rumah adalah bertujuan untuk memberi rehat yang sepenuhnya mereka di samping membantu proses penyembuhan berlaku dengan lebih cepat. Selain dariapda itu, mereka juga dapat memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya pada anak yang baru diahirkan tanpa perlu memikirkan tugasan-tugasan rumah seperti mencuci, memasak dan sebagainya.

Pantang Larang Kedua

“Tidak boleh terkena hujan panas, nanti ‘keteguran’ atau ‘tersampuk’”

“Boi, hujan panas! Cepat pulang sini!” seru ibu. Aku lantas merendahkan tubuh, mencabut selembar ilalang, lalu menyelipkannya di daun telingaku. Aku tak begitu paham apa gunanya, tapi aku melakukannya saja. Sebab, kata orang-orang tua, setiap datang hujan panas, ada hantu yang berkeliaran. Namanya hantu jaring-jaring. – Petikan Cerpen Hujan Panas dan Hantu Jaring-Jaring, Bernard Batubara, Kalimantan Barat.
‘Keteguran’ atau ‘tersampuk’ merujuk kepada kepercayaan masyarakat Melayu berkaitan roh-roh orang yang telah mati dan juga makhluk-makhluk halus sepeti hantu, jin dan syaitan yang sedang berkeliaran yang  akan merasuk ke dalam tubuh manusia hingga menyebabkan orang yang disampuk itu akan jatuh sakit. Seringkali dikaitkan dengan penyakit misteri iaitu penyakit yang tidak mahu sembuh walaupun setelah berulang kali mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital.

Hujan panas seringkali turun dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Seringkali hujan akan turun tiba-tiba di saat cuaca panas terik yang menggigit. Menurut kepercayaan orang tua-tua, hujan panas yang turun membawa alamat bahawa suatu perkara yang tidak diingini akan berlaku.

Mengikut kajian saintifik, hujan memang boleh menyebabkan sakit kepala. Apatah lagi sekiranya ubun-ubun dan kepala kita dibasahi hujan yang pertama, atau hujan yang mula-mula turun. Secara logik, hujan awal itu membawa turun sekali bahan-bahan toksik yang terkumpul. Itulah yang menyebabkan kepala menjadi pening. Justeru memang tidak salah pesan orang tua-tua agar kita cepat-cepat mencuci kepala atau membasahi atas kepala dengan air, sekiranya terkena hujan.

Rasionalnya, terkena air hujan sewaktu cuaca yang panas memang kurang elok untuk kesihatan kita. Ini kerana dalam keadaan cuaca panas, sudah tentulah badan kita juga akan berada di tahap suhu yang panas. Maka apabila terkena hujan, suhu badan kita akan menjadi tidak stabil. Ini akan menyebabkan peredaran darah kita menjadi tidak normal dan menyebabkan badan menjadi panas atau kepala menjadi sakit. Sebab itulah kita disarankan mandi sekiranya terkena hujan. Ini adalah bertujuan untuk menstabilkan suhu badan kita ke tahap yang normal bagi mengelakkan demam ataupun sakit kepala.

Pantang Larang Ketiga

“Jangan duduk di atas bantal, nanti akan berbisul di punggung”.

Sejak kecil,  ibu ayah dan orang tua-tua amat menegah kita daripada duduk di atas bantal kononnya dikhuatiri akan timbul bisul di punggung. Sememangnya anak-anak kecil suka bermain dengan bantal dan seringkali juga menjadi bantal sebagai tempat melabuhkan punggung masing-masing. Keempukan bantal menjadikan sebab mengapa anak-anak kecil gemar duduk di atasnya.

Sebenarnya kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita meletakkan kepala sewaktu tidur. Adalah kurang sopan sekiranya kita meletakkan punggung kita di atas bantal yang menjadi alas kepala semasa kita berbaring atau tidur. Pantang larang ini sebenarnya mengajar anak-anak agar berlaku sopan kerana duduk di atas bantal merupakan perbuatan kurang enak dipandang serta agak kurang sopan. Tambahan pula sekiranya ada tetamu di rumah, adalah kurang sopan sekiranya bantal yang diduduki oleh kita kemudiannya dihulurkan pula kepada tetamu untuk tidur. Selain daripada itu, kebanyakan bantal adalah diperbuat daripada kekabu. Sekiranya asyik dijadikan tempat duduk, dikhuatiri akan menyebabkan bantal koyak seterusnya kekabu akan terkeluar dan berterabur. Ini akan mengundang masalah yang lain pula.

Sewajarnya pantang larang ini patut dikekalkan dan diikuti kerana jika dilihat dari sudut nilai sememangnya pantang larang duduk di atas bantal ini mempunyai rasionalnya yang tersirat. Penerapan nilai-nilai kebersihan, penghormatan dan sopan santun dapat dilihat dengan jelas dalam pantang larang ini. Di zaman sekarang memang terdapat bantal-bantal khas untuk dijadikan tempat alas duduk, jadi tidak perlulah bantal yang digukana sebagai alas kepala pula turut sama dijadikan alas duduk.

Pantang Larang Keempat

“Jangan minum air sambil makan, nanti perut buncit”

Amalan pemakanan dan  cara minum juga tidak terlepas daripada menjadi antara aspek yang terkandung dalam pantang larang masyarakat Melayu. Malahan amalan makan dan minum merupakan antara aspek yang mempunyai banyak  pantang larangnya. Ini kerana makan dan minum adalah perkara yang kita lakukan setiap hari dan cara kita makan dan minum sebenarnya sentiasa menjadi perhatian orang di sekeliling kita. Exco Kanan Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa), Sheikh Ahmad Afiq Sheikh Yahya, berkata kebanyakan pantang larang Melayu berkaitan dengan amalan pemakanan kerana kesihatan setiap individu berkait rapat dengan tabiat pemakanannya.

Masyarakat dulu  tidak menggalakkan sesiapa juga meminum air ketika makan atau dengan kata lain makan sambil berselang seli dengan meminum air. Amalan ini dikatakan boleh menyebabkan kegemukan dan perut menjadi buncit. Ini kerana makanan yang diambil tidak dapat hadam dengan sempurna. Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah dalam artikel ‘Tips Menjadi Orang Yang Cemerlang’, beliau meyarankan agar kita minum air selepas 15-30 minit selesai makan. Beliau juga melarang meminum air semasa makan.

. Jadi, jika dilihat dari sudut kesihatan, pantang larang ini memang wajar untuk diikuti. Larangan ini jelas selari dengan fakta saintifik yang menunjukkan tabiat makan sambil disulami dengan minum air akan menyusahkan proses penghadaman berlangsung dalam diri seseorang. Ia juga akan memberi kesan kepada tenaga kita. Di samping itu makan sambil minum air juga dipercayai boleh melemahkan tenaga batin seseorang.


Pantang Larang Kelima

“Jangan memotong kuku di waktu malam, nanti akan didatangi malang”

Masyarakat Melayu lama sentiasa bijak dalam menyelitkan tegahan dan larangan kepada anak-anak kecil melalui pantang larang yang dinyatakan. Pantang larang memotong kuku di waktu malam seringkali juga ditekankan di mana dikatakan bakal didatangi malang sekiranya dilakukan. Jika dilihat dari sudut logikalnya, kita tidak dapat melihat di mana perkaitan antara memotong kuku dengan malang yang bakal menimpa. Tetapi seperti yang kita sedia maklum, kebanyakkan pantang larang masyarakat Melayu sebenarnya sentiasa ada maksud yang tersirat. Pantang larang yang dinyatakan hanya semata-mata untuk menimbulkan rasa takut dan gerun di kalangan kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang ditegah.

Jika di lihat dari sudut rasionalnya, larangan memotong kuku di waktu malam ada kebenaran dalam tegahannya. Kita sedia maklum, pada zaman dahulu tiada bekalan letrik dan waktu malam hanya diterangi cahaya lampu pelita sahaja. Maka sudah pastilah pandangan pada waktu malam adalah tidak jelas dan samar-samar. Maka tegahan ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan daripada terpotong kuku secara berlebihan ataupun melukakan jari sendiri kerana kemampuan pandangan mata yang tidak berapa jelas.

Seiring dengan perkembangan masa, walaupun telah ada bekalan eletrik, pantang larang ini masih mempunyai rasional untuk diikuti. Sekalipun, terdapat cahaya dari lampu elektrik, keadaan pada waktu malam masih tidak secerah waktu siang. Ditambah pula dalam keadaan diri yang mulai mengantuk, juga dikhuatiri akan melukakan jari semasa memotong kuku.


No comments:

Post a Comment