Wednesday 27 February 2013

PENGURUSAN TINGKAHLAKU MURID-MURID PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN - SUBJEK PTL

PENGURUSAN TINGKAH LAKU MURID PKBP

1.0 PENGENALAN

Setiap ibu bapa mahukan anak-anak yang dilahirkan normal dan cukup sifatnya. Namun begitu ketentuan Allah SWT tiada siapa yang dapat menghalang. Kelahiran anak-anak istimewa atau kanak-kanak berkeperluan khas memang menjadi satu tamparan dan cabaran buat ibu bapa. Sebagai insan, kanak-kanak berkeperluan khas juga perlu mendapat layanan dan pendidikan yang sewajarnya dari keluarga, masyarakat dan juga pihak sekolah.

Kanak-kanak berkeperluan khas merupakan kumpulan kanak-kanak yang mengalami ketidaknormalan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi atau tingkah laku. Mereka merupakan kumpulan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh pakar-pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak seperti kebolehan kognitif tingkah laku (perkembangan social), penguasaan bahasa lisan (pertuturan) dan membaca, kemahiran perkembangan dan kemahiran matematik. Seringkali kanak-kanak berkeperluan khas dikaitkan dengan permasalahan tingkah laku. Tahap kefungsian mereka yang rendah mendorong timbulnya permasalahan tingkah laku di kalangan mereka. Berbagai masalah ditimbulkan sama ada semasa berada di dalam kelas, di luar kelas mahupun di rumah.

Dewasa ini, tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas ini juga telah menjadi topik perbincangan yang seringkali diperkatakan. Sehubungan dengan itu, saya telah membuat rujukan dan kajian berkaitan permasalahan tingkah laku di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Ini bertujuan mendapatkan maklumat lengkap berkaitan permasalahan tingkah laku yang sering berlaku di kalangan murid-murid berkeperluan khas.

1.1 DEFINISI DAN KONSEP TINGKAH LAKU

1.1.2 Definisi Tingkah Laku

“Berbagai-bagai ragam dan berbagai-bagai laku”
( Kamus Dewan, 1979 )

“Sesuatu yang dilakukan, cara untuk bertindak balas terhadap persekitaran.”
( Raymond G. Miltenberger, 2001 )

“Tingkah laku adalah apa yang kamu lakukan, cara berinteraksi atau beraksi dan bertindak balas terhadap persekitaran.”
( Lewis M. Beaker, 2001 )

Pengertian tingkah laku sebenarnya mempunyai pengertian yang amat luas. Tingkah laku boleh disimpulkan sebagai perangai, gerak-geri, kelakuan, segala perbuatan yang melibatkan kegiatan motor seperti berjalan, berlari, bergerak, berinteraksi, dan memberi respon atau tindakbalas terhadap sesuatu sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Malahan tingkah laku juga sebenarnya mencakupi gambaran emosi dan mental seseorang.


1.1.2 Definisi Tingkah Laku Bermasalah

Menurut Mohd. Nazar Mohamad (1990) yang dipetik daripada Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkahlaku oleh Mok Soon Sang, tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya. Jika dilihat dari konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan ataupun keberkesanan pengajaran dan pembelajaran khasnya di dalam bilik darjah.

Tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang tidak normal iaitu yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat, termasuk sekolah. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakkan orang dalam masyarakat. Tingkah laku bermasalah murid juga boleh didefinisikan sebagai sebarang aksi murid yang dianggap oleh guru sebagai mengganggu kerana ia menghalang kelancaran dan kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘ The School and the Behaviour Problem Child ‘ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.


1.1.3 Jenis-Jenis Tingkah Laku Bermasalah

Tingkah laku bermasalah boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

a) Tingkah Laku Bermasalah Positif

b) Tingkah Laku Bermasalah Negatif


Tingkah laku bermasalah positif merupakan keadaan tingkah laku di mana ia dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, tetapi sebenarnya tingkah laku tersebut mengganggu individu-individu lain. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, tingkah laku bermasalah positif dilihat pada keadaan murid yang nampak keterlaluan perasaan ingin tahunya, terlalu cepat belajar, pintar cerdas dan proaktif. Keadaan ini juga adakalanya dipanggil hiperaktif positif. Sekalipun keadaan ini adalah sangat baik dan positif tetapi hakikatnya ia mengganggu kelancaran proses pengajaran-pembelajaran yang sedang dijalankan. Keadaan in sebenarnya mengganggu murid-murid yang belajar dalam keadaan yang normal. Selain daripada itu ia akan mengakibatkan ketidakseimbangan dalam proses pembelajarang yang sedang dijalankan. Keadaan ini juga akan menimbulkan ketidakselesaan di kalangan murid-murid yang lain dan juga pada guru itu sendiri.

Tingkah laku bermasalah negatif merangkumi tingkah laku distruptif, distruktif, pengasingan diri, pergantungan berlebihan, agresif dan kebimbangan. Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, tingkah laku bermasalah negatif merupakan keadaan di mana murid mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dengan berbagai cara melalui tindakan-tindakan ataupun perlakuan-perlakuan yang mengganggu rakan dan guru ataupun merosakkan peralatan yang terdapat di dalam kelas.

Antara perlakuan negatif yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran ialah membuat bising, mengganggu rakan, bergaduh, melawan cakap guru, vandalisme, kerap menangis, berbohong, mencuri, mengejek dan tidak menunjukkan minat dan perhatian dalam pelajaran. Ada juga tingkah laku murid yang kurang disedari oleh guru tetapi sebenarnya boleh mejejaskan pembelajaran dan perhubungan sosial yang normal. Tingkah laku ini adalah yang seperti sering mengasingkan diri, selalu sedih, terlalu pemalu, sering ketakutan dan fantasi.

1.1.4 Ciri-Ciri Kanak-Kanak Bermasalah Tingkah Laku

Terdapat beberapa ciri-ciri kanak-kanak yang bermasalah dalam tingkah laku seperti di bawah :

i. Suka menakut-nakutkan kanak-kanak yang lebih kecil atau lebih muda dari mereka.

ii. Mencederakan kanak-kanak atau rakan sebaya mereka

iii. Suka mencari gaduh atau pasal dengan kawan-kawan

iv. Sering bercakap bohong atau bercakap besar

v. Melakukan kegiatan negatif seperti mencuri, menghisap rokok

vi. Suka menyakiti hati kawan-kawan

vii. Menjahanamkan harta benda

viii. Tidak duduk diam

ix. Suka terjerit-jerit dan menjerit apabila bercakap

x. Tidak mendengar arahan atau kata dari orang tua

xi. Panas baran

xii. Tidak menyiapkan kerja rumah atau tugasan yang diberi

( Robert H Woody : The school and the behaviour problem child )


1.2 PUNCA-PUNCA MASALAH TINGKAH LAKU DI KALANGAN MURID PENDIDIKAN KHAS

Umumnya tingkah laku bermasalah di kalangan murid pendidikan khas adalah berpunca daripada beberapa faktor. Antara faktor-faktor tersebut ialah faktor baka, faktor persekitaran dan faktor pemakanan. Namun begitu Teori pembelajaran sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) juga merumuskan bahawa perkara utama yang sering dipelajari oleh kanak-kanak dan remaja ialah melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan dengan mereka.

1.2.1 Faktor Baka

Baka atau keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak. Baka diperturunkan melalui gen-gen ibu bapa kepada anak-anak. Baka boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Ahli psikologi bersetuju bahawa baka merupakan salah satu punca berlakunya tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperlan khas. Seseorang kanak-kanak yang lahir itu pasti akan mewarisi sifat-sifat ibu bapanya. Menurut Norman L.Munn, baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui genetik.

Antaranya sifat yang dipengaruhi oleh genetik ialah sifat introvert dan ekstrovert. Sifat-sifat ini boleh diwarisi oleh kanak-kanak melalui ibu bapa mereka. Keadaan emosi yang tidak stabil di kalangan ibu bapa juga boleh menyebabkan anak mereka mengalami keadaan yang sama. Contohnya jika seseorang itu mempunyai sifat pemarah, pembengis dan sukar mengawal emosi, kemungkinan anaknya juga akan berkeadaan sedemikian. Ini akan menyebabkan beberapa masalah seperti tantrum, suka mengamuk, dan berkemungkinan mencederakan diri sindiri atau orang lain.

Baka juga akan mempengaruhi perkembangan fizikal seseorang. Kajian telah menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya bentuk fizikal, warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa. Sebagai contoh, jika ibu bapa mempunyai saiz badan yang besar dan gemuk, ini juga boleh menyebabkan kemungkinan anak mereka akan mengalami masalah tubuh badan yang sama. Saiz tubuh yang terlalu gemuk, terlalu kurus atau terlalu rendah dan kecil akan menyebabkan timbulnya perasaan rendah diri dan malu dalam diri seseorang murid itu. Ini seterusnya boleh menyumbang kepada timbulnya tingkah laku bermasalah seperti tidak mahu bergaul dengan orang lain, mengasingkan diri, dan tidak mahu melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pengajaran kerana malu dan takut diejek oleh kawan-kawan.

Perkembangan mental seseorang juga boleh dipengaruhi oleh baka. Sekiranya ibu bapa mempunyai tahap kemampuan mental yang rendah, kemungkinan anak mereka juga akan menghadapi masalah yang sama. Ini seterusnya akan menyebabkan anak ketinggalan dalam pelajaran dan akhirnya menjadi tidak minat untuk belajar. Hal ini akan menyebabkan berlakunya tingkah laku yang tidak diingini seperti kemurungan, suka mengasingkan diri dan mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi. Keadaan ini juga akhirnya boleh membawa kepada tingkah bermasalah yang lain yang akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung.


         1.2.2 Faktor Persekitaran

Persekitaran merupakan faktor penting yang mungkin menjadi punca kepada permasalahan tingkah laku di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Faktor persekitaran boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu faktor keluarga, faktor rakan sebaya, faktor sekolah dan faktor masyarakat dan budaya.


         1.2.2.1 Faktor Keluarga

Coleman dan Cressey (1993: 110) mentakrifkan keluarga sebagai ‘a group of people by marriage, ancestry or adoption who live together in a common household’, (Kamus Dewan 1994) mencatitkan definisi keluarga sebagai ‘seisi rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri sahaja atau berserta anak-anak’. Mahmood (1997) mentakrif keluarga sebagai unit sosial yang terdiri daripada bapa, ibu dan anak dan yang paling penting ialah wujudnya suatu pertalian hidup tertentu dalam kelompok social berkenaan.

Mengikut Parsona ( 1964 ) bahawa rumah adalah kilang menghasilkan peribadi manusia. Jika ibu bapa gagal memproses anak-anak mereka di kilang ini maka hasilnya ialah anak-anak yang tidak bermoral. Insititusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Keluarga boleh menjadi satu punca kepada timbulnya permasalahan tingkah laku di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Kajian-kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa pelajar yang bermasalah kebanyakannya adalah berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah (Dishion, et al., 1991; Rutter, 1985; Vuchinich, 1992).

Dapatan kajian oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (1993), merujuk punca salah laku di kalangan pelajar disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor keluarga merupakan penyumbang tertinggi dalam peningkatan permasalahan tingkah laku palajar. Kajian yang telah dijalankan pada tahun 1993, menunjukkan bahawa 81.03 peratus pelajar melakukan kesalahan kerana faktor kekeluargaan, 4.10 peratus disebabkan oleh rakan sebaya dan 1.24 peratus disebabkan oleh faktor persekolahan (Dewan Masyarakat, April, 1995).

a) Penceraian dan perpisahan ibu bapa

Menurut Coleman, penceraian berlaku akibat tekanan yang dialami oleh individu. Tekanan menyebabkan hubungan di kalangan ahli keluarga menjadi renggang. Benokraitis mentakrifkan penceraian sebagai ‘penamatan suatu perkahwinan yang sah dan formal’ (Nijole V Benokraitis, 1996).

Banyak kajian menunjukkan bahawa masalah salah laku sering dialami oleh kanak-kanak apabila berlaku penceraian di kalangan ibu bapa mereka. Corak tingkah laku berbeza di antara kanak-kanak dan ia berhubungkait dengan perkara-perkara seperti jantina dan usia. Kanak-kanak yang terganggu emosinya lebih sering mengeluh sakit seperti demam, sakit tekak, sakit perut dan sebagainya. Keadaan emosi mereka juga tidak stabil dan kadangkala berlaku kecelaruan emosi di kalangan kanak-kanak mangsa penceraian.

Seseorang akan merasa marah terhadap ibu bapanya kerana bercerai dan akan melepaskan perasaan marahnya itu melalui perubahan sikap mendadak. Kanak-kanak akan menjadi degil, bersikap panas baran, bertumbuk dengan budak-budak lain, mencuri, ponteng sekolah, bercampur dengan kumpulan budak-budak nakal dan menghisap rokok. Mereka juga akan menjadi penyedih dan tidak suka bergaul, asyik menyendiri, menangis seorang diri, tidak tidur lena malam dan kelihatan malas. Semua ini adalah kesan daripada gangguan emosi dan perasaan yang dialami akibat daripada penceraian kedua ibu bapa. Hal ini akan menjadi bertambah buruk apabila kanak-kanak tersebut terpaksa diheret sama ke dalam kancah penceraian tersebut terutamanya apabila berlaku kes perebutan hak penjagaan anak. Sigurdsson dan rakan-rakan (1996) dan Sokol-Katz dan rakan-rakan (1997) menekankan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku bermasalah adalah hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan.

b) Gaya asuhan dan cara mendisiplinkan anak

Menurut Kamus Dewan (2003), gaya asuhan didefinisikan sebagai perihal mendidik, peliharaan, penjagaan, tunjuk ajar dan bimbingan. Menurut Darling dan Steinberg (1993), gaya asuhan didefinisikan sebagai sikap yang ada pada ibu bapa berkaitan dengan membesarkan anak, seperti yang digambarkan melalui interaksi mereka dengan anak mereka.

Kegagalan ibu bapa dalam mengasuh, mendidik dan mendisiplinkan anak-anak mereka juga dilihat sebagai salah satu faktor berlakunya masalah tingkah laku. Latar belakang tingkah laku anti sosial adalah kesan daripada kekurangan, ketidaksesuaian atau kawalan disiplin yang tidak konsisten semasa kanak-kanak (Jacobvitz et al., 1996). Kebanyakan tingkah laku bermasalah juga berpunca daripada kegagalan cara gaya keibubapaan dan pengurusan keluarga (Jacobvitz et al., 1996, Vuchinich, 1992).

Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengawasi perkembangan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Sekiranya disiplin tidak diterapkan di peringkat awal lagi, maka kemungkinan untuk menyebabkan timbulnya tingkah laku bermasalah di kalangan murid-murid berkeperluan khas adalah lebih tinggi. Asuhan di peringkat awal serta penerapan disiplin yang sesuai dan istiqamah akan memastikan tingkah laku bermasalah tidak timbul di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

c) Pengaruh Ibu Bapa

Ibu bapa merupakan model terhampir kepada kanak-kanak. Kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas seringkali menjadi ibu bapa sebagai idola ataupun model untuk diikuti. Sikap dan tingkah laku ibu bapa sama ada positif ataupun negatif seringkali menjadi ikutan kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Apa sahaja tingkah laku yang dilakukan oleh ibu bapa di hadapan anak-anak baik dari segi verbal mahu pun perbuatan akan diperhatikan oleh anak-anak dan tidak mustahil anak-anak akan terikut-ikut dengan tingkah laku tersebut. Sekiranya tingkah laku tersebut baik dan positif, maka anak-anak akan turut menjadi sedemikian. Sebaliknya jika tingkah laku ibu bapa lebih banyak ke arah yang kurang baik dan negatif, maka anak-anak juga akan terdidik dengan sifat-sifat yang negatif dan kurang baik.

Mengikut Hoffman (1994), keluarga telah membentuk personaliti seseorang sejak kecil dan terus memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap dan pemikiran seseorang dalam alam dewasa. Ini bermakna pengaruh ibu bapa amat kuat dalam membentuk tingkah laku kanak-kanak dan tingkah laku ibu bapa juga amat cenderung diikuti oleh kanak-kanak.

d) Hubungan keluarga dengan kanak-kanak
Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Hubungan ini merangkumi perhubungan spiritual (agama), emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati, bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan (pakaian, makanan, rumah dan sebagainya).

Suasana rumah yang mesra dan harmonis akan menggalakkan ketenteraman tingkah laku terkawal. Perhubungan ibu bapa yang baik akan menjamin suasana rumah yang tenteram yang amat diperlukan untuk kestabilan emosi. Kasih sayang, layanan, asuhan dan perhatian yang diberi oleh ibu bapa akan secara langsung membantu perkembangan emosi. Sebaliknya, ibu bapa yang tidak pengasih boleh menyebabkan salah laku, anaknya melawan, kurang bercakap dan berasa iri hati.Misalnya ibu bapa yang mewujudkan perasaan tegang dalam keluarga menyebabkan anak-anak tidak diterima, rasa tersingkir dan kurang selesa.

Kajian oleh Patterson dan rakan-rakan (1989) dan Yoshikawa (1994) mendapati bahawa kegagalan keluarga dalam berinteraksi secara berkesan dengan anak-anak menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh dengan tingkah laku bermasalah. Di samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa anak-anak yang bertingkah laku agresif mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ahli keluarga (Coie, et.al., 1992; Henggeler dan Hall, 1992; Stattin dan Magnusson, 1994).

e) Keluarga bermasalah
Keluarga bermasalah adalah keluarga yang mempunyai krisis yang meruncing di dalam rumahtangga akibat daripada masalah keluarga ( Utusan Malaysia, 27 September 1990:12). Krisis-krisis ini kemudiannya telah mengakibatkan timbul berbagai keadaan negatif dalam perhubungan keluarga tersebut. Tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas juga mungkin berpunca daripada permasalahan ini. Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan keluarga yang bermasalah seringkali mengalami gangguan emosi dan perasaan yang akhirnya menyebabkan berbagai permasalahan tingkah laku ditimbulkan sama ada di rumah, sekolah mahupun di dalam masyarakat.
Jika kehidupan harian di rumah dicirikan oleh emosi kebimbangan atau ketakutan, perbalahan yang kerap berlaku, ketiadaan jaminan keselamatan, sikap ibu bapa yang terlalu kasar, garang dan dominan ataupun terlalu mengongkong dan memanjakan, atau gangguan neurotik, mereka akan membesar dalam suasana emosi dan sosial yang tidak dapat mengembangkan kualiti kebebasan dan keyakinan diri yang penting untuk mencapai kemajuan dalam persekolahan. Akhirnya kanak-kanak akan mempunyai sikap dan tingkah laku yang tidak diingini. Sikap seperti ini akan menggalakkan kanak-kanak menjadi tidak berdisiplin, tidak tahu mengurus diri, tidak mempunyai peraturan, sanggup menipu dan tidak jujur dalam kerja-kerja sekolah, sehingga mengibatkan kemunduran akademik dan juga tingkah laku.

f) Penderaan kanak-kanak

Kanak-kanak berkeperluan khas ada kalanya tidak dapat diterima kehadirannya dalam sesebuah keluarga. Mereka dianggap sebagai memalukan serta membebankan keluarga. Akibatnya ada di antara kanak-kanak berekeperluan khas ini telah didera dan diperlakukan dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka sendiri.

Coleman dan Cressey mengkategorikan penderaan kanak-kanak dalam kes keganasan rumahtangga. Ianya berlaku akibat gangguan emosi yang dialami oleh ibu bapa berpunca daripada tekanan (stress). Kemungkinan tekanan yang dihadapi apabila menerima anak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas mengakibatkan ibu bapa melepaskan kemarahan kepada anak mereka. Kanak-kanak yang didera, kerap mengalami gangguan emosi di mana mereka seringkali menjadi terlalu takut, rendah diri, emosi tidak stabil, pendendam dan pasif. Kesan gangguan emosi ini akan menyebabkan timbulnya permasalahan tingkah laku yang tidak diingini. Adakalanya kanak-kanak ini akan memberontak dengan cara melakukan kekerasan dan keganasan terhadap rakan sebaya mereka sepertimana yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap mereka. Ada juga kanak-kanak ini yang menjadi terlalu pasif dan sering mangasingkan diri.

g) Sosio ekonomi keluarga

Faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Kemiskinan yang dihadapi oleh sesebuah akan menimbulkan ketegangan dalam keluarga tersebut. Kemiskinan ditakrifkan sebagai satu keadaan apabila sesebuah isirumah tidak memperoleh pendapatan yang cukup bagi menampung perbelanjaan keperluan asas (seperti makanan, pakaian, tempat tinggal) dan juga perubatan serta pengangkutan yang diperlukan oleh ahli keluarga bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan harian dengan baik (Tamadun, April 1998:18).
Apabila masalah kewangan sering berlaku dan keadaan rumah serta persekitaran tidak selesa, ahli keluarga sering mengalami tekanan emosi. Pergaduhan dan pertelingkahan sering berlaku di antara suami dan isteri berpunca daripada kekurangan wang. Dalam keadaan begini anaklah yang seringkali menjadi mangsa. Anak-anak dalam keluarga ini akan menempuh satu suasana yang tidak stabil, serba kekurangan dan dengan sendiri menimbulkan masalah tingkah laku mereka.

1.2.2.2 Faktor Rakan Sebaya

Apabila seseorang itu berada di luar rumah ia akan bergaul dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini terdiri daripada pelajar-pelajar atau remaja yang mempunyai umur yang hampir-hampir sama di antara satu sama lain. Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama ( Hazil Abdul Hamid : 1990; 89). Kumpulan rakan sebaya ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan tingkah laku seseorang kanak-kanak.

Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama (Hazil Abdul Hamid: 1990; 89). Kumpulan rakan sebaya ini mempunyai peranan dalam aktiviti sosial. Ia adalah agensi tidak formal yang memberikan pengalaman yang tidak dapat diperolehi daripada keluarga dan juga di sekolah.

Mustafa Fahmi (1971) menyatakan kanak-kanak atau remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang mana ia berada di dalamnya. Mereka akan bersungguh-sungguh mencuba bertingkah laku seperti tingkahlaku kumpulannya. Mereka juga akan melakukan atau membuat apa yang dilakukan atau dibuat oleh kumpulannya. Hal ini termasuklah perlakuan atau tingkah laku bermasalah yang terdapat dalam kumpulan mereka.

Menurut Klausmerier et. al (1975) di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejuran, kemesraan dan lain-lain "para remaja dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya yang lebih tinggi daripada pengaruh ibu bapa. Ini bermakna rakan sebaya memainkan peranan penting dan menjadi salah satu punca kepada permasalah tingkah laku di kalangan kanak-kanak.

Begitu juga halnya yang berlaku di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Dengan keadaan mereka yang serba kekurangan sama ada dari segi fizikal, tahap kemampuan berfikir dan tahap kemampuan mental, kanak-kanak berkeperluan khas seringkali menjadi rakan sebaya sebagai model dan ikutan mereka apatah lagi sekiranya keluarga kurang menerima dan memberi perhatian terhadap mereka. Penerimaan rakan sebaya dianggap sebagai satu penghargaan dan akhirnya menjadikan rakan sebaya sebagai idola dan ikutan. Akhirnya mereka lebih cenderung melakukan aktiviti atau tingkah laku yang tidak diingini dan bermasalah.

Disebabkan tahap kemampuan berfikir yang rendah di kalangan kanak-kanak berekeperluan khas, mereka adakalanya lebih mudah dipergunakan dan dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau perlakuan negatif seperti mencuri, memeras ugut dan terlibat dalam pergaduhan.

Perkembangan tingkah laku negatif dan penglibatan dengan kumpulan rakan sebaya negatif boleh difahami melalui rangka kerja yang diperkenalkan oleh Bronfenbrenner (1979). Menurut teori yang diperkenalkan oleh beliau, seseorang individu bergaul dengan berbagai sistem dalam kehidupan harian. Mikrosistem seperti rumah dan sekolah, merupakan perkara yang kanak-kanak akan terlibat secara terus. Tingkah laku yang dipelajari daripada salah satu mikrosistem akan terbawa-bawa kepada mikrosistem yang lain.

Dalam keadaan ini, tingkah laku yang dipelajari dari luar, dalam konteks hubungan rakan sebaya, akan terbawa-bawa ke rumah dan digunakan dalam menjalankan hubungan dengan ahli keluarga. Begitu juga di mana tingkah laku yang dipelajari dari rakan sebaya untuk digunakan dalam menjalankan hubungan dengan guru dan persekitaran sekolah yang boleh menganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

1.2.2.3 Faktor Sekolah

Menurut Kamus Dewan Edisi Tiga (1994) sekolah ialah ‘tempat untuk belajar dan mengajar’. Dalam seharian hampir separuh masa murid-murid dihabiskan di sekolah. Sekolah juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada berlakunya tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Contohnya, pengetua yang tegas melaksanakan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan perlaksanaan satu-satu tugas. Sekiranya sebaliknya, menyebabkan kanak-kanak pasif, menarik diri, takut mengambil bahagian dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu persekitaran sekolah yang tenang dan selesa akan membantu memupuk tingkah laku yang diingini. Saiz sekolah juga memberi kesan kepada tingkah laku murid. Sekolah yang besar atau keadaan bersesak-sesak mempunyai pertalian yang disignifikan dengan masalah tidak berdispilin ( Balley, 1971 dan Reynolds, 1977 )

Iklim kelas yang kemas, selesa dan kondusif akan menyebabkan kanak-kanak dapat belajar dengan tenang. Sekiranya keadaan kelas tidak kondusif, ini boleh mengakibatkan timbulnya tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak. Menurut Dunhill ( 1965 ) mendapati keadaan dalam kelas yang tidak dikelolakan dengan baik akan menimbulkan disiplin kerana keadaan demikian akan menimbulkan watak yang kurang baik di kalangan murid. Dalam erti kata lain, murid akan lebih tenang dari segi emosi dan kesediaan belajar apabila keadaan kelas mereka sentisa dikelolakan dengan baik.

Menurut Teori Pembelajaran Sosial yang dipelopori oleh Albert Bandura individu bertingkah laku berdasarkan pengalaman dengan melihat orang lain yang dianggap sebagai model. Guru perlu menjadi model yang terbaik kepada pelajar (Bandura 1977). Pelajar memerlukan sentuhan guru untuk mereka menjadi bertambah baik daripada sedia ada. Sekiranya semua guru menonjolkan model yang terbaik kepada murid-murid, maka mustahil pelajar tidak terpengaruh untuk menjadi pelajar yang baik tingkah lakunya. Ini bermakna guru perlu menjadi model dan contoh yang terbaik kepada anak didiknya.

Selain daripada itu sikap dan tingkah laku guru juga perlu dipelihara kerana dengan sikap yang tidak menyenangkan akan menjejaskan tingkah laku kanak-kanak. Banyak perkara yang dilakukan oleh guru tanpa disedari boleh mengubah tingkah laku yang tidak menyenangkan. Mereka akan mula bosan, malas dan nakal apabila berhadapan dengan situasi yang membosankan. Apatah lagi sekiranya kanak-kanak tersebut adalah kanak-kanak berekeperluan khas. Segala masalah yang timbul juga perlu ditangani dengan bijak dan adil. Sekiranya keadaan tidak diberi perhatian, masalah tingkah laku mungkin akan berlaku di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Keadaan di mana guru kurang memberi perhatian dan sering sibuk dengan tugasan akan menyebabkan murid merasa diri mereka tidak dihiraukan dan menyebabkan mereka bertindak mengikut kehendak mereka. Guru perlu lebih bijak menangani masalah dan memberi perhatian yang sepatutnya agar kanak-kanak berkeperluan tidak rasa tersisih dan terabai. Guru perlu melayan kanak-kanak berkeperluan khas secara berbeza kerana kepelbagaian masalah kanak-kanak berkeperluan khas. Mereka perlu dilayan sebagai individu secara berasingan dan bukan secara pukal. Walaupun agak sukar untuk guru melakukannya kerana jumlah pelajar yang ramai, namun hakikat yang perlu diterima oleh guru ialah mereka adalah seorang pendidik dan mampu mengubah pemasalahan yang timbul sekiranya bijak menangani sesuatu permasalahan itu.

1.2.2.4 Faktor Masyarakat dan budaya

Thrasher ( 1963 ) dan Whyte ( 1943 ) mengatakan apabila salah laku itu sudah menjadi kebudayaan kecil ( sub-culture ) di sesuatu kawasan itu maka individu-individu di dalamnya akan menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

Persekitaran masyarakat akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku kanak-kanak. Nilai dan taraf tingkah laku masyarakat boleh mempengaruhi kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak akan lebih mudah dan cepat tepengaruh dengan perkara-perkara negatif yang terdapat dalam masyarakat sekeliling mereka. Budaya-budaya yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat juga akan memberi kesan terhadap tingkah laku kanak-kanak. Sekiranya murid sentiasa terdedah dengan budaya kurang sihat yang diamalkan masyarakat sebagai contoh budaya gangsterism dan vandalisme, mereka akan lebih mudah terikut-ikut dengan budaya tersebut.

Budaya dan pengaruh media massa juga menjadi punca kepada permasalahan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Jika kanak-kanak sentiasa didedahkan kepada tayangan video atau filem yang berunsurkan pergaduhan, kezaliman dan keganasan, mereka akan cenderung untuk memperolehi tingkah laku yang agresif. Bandura (1977), mendapati kanak-kanak akan mencontohi tingkah laku agresif selepas menonton filem yang berunsurkan aksi agresif (Eron, 1982). Namun begitu sekiranya ibu bapa mengawal dan memberi penekanan kepada unsur agama, nilai-nilai murni dan budaya yang positif, maka kanak-kanak yang dibesarkan dengan kebudayaan ini akan mempunyai tingkah laku yang stabil.

1.2.3 Faktor Pemakanan dan Kesihatan

Makanan seimbang yang disediakan adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan. Kekurangan satu-satu jenis makanan boleh menyebabkan kanak-kanak itu letih dan mudah terkena penyakit. Kanak-kanak yang mendapat kurang makan khususnya makanan yang berzat selalunya tidak aktif, tidak sihat dan kurang bertenaga untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Kanak-kanak begini lazimnya pemalu, mudah tersinggung dan seringkali bersedih dan menangis. Ini menyebabkan tehasilnya tingkah laku yang tidak diingini seperti tidak mahu melibatkan diri, suka menyendiri dan kerap tidak hadir ke sekolah.

Kesihatan juga amat penting dalam menentukan tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Menurut Belock & Breslow (1972), tabiat kesihatan yang baik akan mengurangkan risisko penyakit, rasa lebih sihat dan kurang masalah tidak berupaya. Ini akan menyumbang kepada tingkah laku yang lebih posotof. Kanak-kanak yang kurang bertenaga disebabkan kerap sakit dan penyakit tertentu akan berasa malu, bersifat pendiam, mudah marah dan menarik diri. Akibatnya kanak-kanak berkenaan tidak dapat membina hubungan yang baik dengan kanak-kanak lain. Dengan itu dia akan berasa sedih dan mengalami kesunyian.

Selain daripada itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai kecacatan anggota seperti tempang, sumbing, kudung kaki, tangan dan lain-lain kecacatan juga akan menunjukkan tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Mereka akan menunjukkan tingkah laku bermasalah seperti pengunduran diri, pengasingan, rendah diri dan menjadi pasif. Ini disebabkan mereka merasakan kekurangan yang ada pada mereka membuatkan mereka merasa terasing dan kurang keyakinan diri

1.3 DEFINISI DAN KONSEP PENGURUSAN TINGKAH LAKU

1.3.1 Pengenalan

Pengurusan tingkah laku merupakan satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik-teknik atau kaedah-kaedah yang sesuai. Dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku, guru perlu memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus ditunjukkan di dalam bilik darjah.

Pengurusan tingkah laku juga adalah tindakan yang dilakukan oleh guru, ibubapa atau pihak-pihak tertentu untuk membentuk perlakuan luaran atau dalaman individu atau kumpulan supaya mempunyai tingkah laku yang bermanfaat, produktif dan diterima oleh masyarakat

Menurut Stone (2007), kalau tingkah laku boleh dipelajari maka sudah tentu ia juga boleh diubah atau diubahsuai. Kebanyakan tingkah laku berbentuk operan dan bukannya responden . Oleh itu tingkah laku berubah apabila persekitaran berubah dan menyediakan konsekuens yang berbeza.
Dalam menjayakan pengurusan tingkah laku, guru mesti selalu memodelkan tingkah laku yang positif. Guru juga harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan. Disamping itu, guru juga harus membetulkan tingkah laku murid yang salah dengan menunjukkan mereka tingkah laku yang betul.

1.3.2 Definisi Pengurusan Tingkah Laku

“Pengurusan tingkah laku adalah tugas guru untuk menyediakan murid-murid supaya hendak belajar.”
( Bradley, King, Sears dan Teassier – Switlick, 1997 )

Pengurusan tingkah laku adalah merupakan langkah yang sistematik untuk mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku yang positif.”
( Behaviour Modification )

“Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu.”
( Bear, Wolf dan Risley, 1968 )

1.3.2 Prinsip-Prinsip Pengurusan Tingkah Laku

Di antara prinsip-prinsip yang diamalkan dalam pengurusan tingkah laku ialah:-

i. Semua tingkah laku adalah dipelajari

ii. Semua tingkah laku adalah ‘stimulus spesifik’

iii. Tingkah laku boleh diajar dan diubah

iv. Matlamat perlu jelas dan specifik

v. Program yang dijalankan perlu secara individu

vi. Program yang dijalankan perlu fokus pada masa kini dan persekitaran kanak-kanak


1.3.4 Teknik-Teknik Pengurusan Tingkah Laku

Terdapat banyak teknik yang biasanya digunakan dalam pengurusan tingkah laku. Guru seharusnya bijak memilih teknik yang bersesuaian dengan murid sebelum pengurusan tingkah laku dijalankan. Guru perlu mengambil kira faktor fizikal, emosi, mental, tahap keseriusan tingkah laku, faktor persekitaran dan jangkamasa perlaksanaan sebelum sesuatu pengurusan tingkah laku dijalankan ke atas murid. Di antara teknik-teknik pengurusan tingkah laku ialah:

i. Ganjaran

ii. Dendaan

iii. Pengasingan

iv. Shaping (Pembentukan)

v. Prompting

vi. Pelenturan

vii. Modeling

viii. Pengasingan

ix. Kontrak perjanjian

x. Kaunseling


1.3.5 Langkah-Langkah Pengurusan Tingkah Laku

Dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku adalah menjadi tugas penting guru untuk meneliti, melakukan penilaian, merancang dan melaksanakan program secara objektif. Tujuan utama pengurusan tingkah laku adalah untuk mendisiplinkan diri individu. Dalam tugasan ini, akan disentuh secara terperinci tentang langkah-langkah dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku.

Terdapat beberapa 10 langkah yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan tingkah laku murid-murid. Langkah-langkah tersebut ialah :

1. Membuat pemerhatian dan penilaian serta merekodkan tingkah laku bermasalah.

a. Guru harus mengenalpasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh murid.

b. Setelah tingkah laku dikenal pasti, pemerhatian dan merekodkan tingkah laku haruslah dibuat oleh guru.


2. Memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan

a. Guru hendaklah memilih tingkah laku yang dirasakan perlu diubah terlebih dahulu mengikut keutamaan.


3. Menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai
a. Guru juga harus mengenalpasti dan menetapkan matlamat tingkah laku yang diingini.


4. Mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat

a. Guru haruslah menetapkan masa yang sesuai bagi melaksanakan sasaran yang telah ditetapkan.


5. Memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai

a. Setelah mengenal pasti tingkah laku yang hendak diubah, guru bolehlah memilih kaedah atau strategi yang sesuai.


6. Menentukan ganjaran dan dendaan

a. Guru juga harus menentukan ganjaran sekiranya berlaku modifikasi tingkah laku terhadap murid guru juga perlu hendaklah menentukan dendaan yang sesuai sekiranya modifikasi tinghkah laku tidak berlaku.

b. Contoh ganjaran ialah shaping, token ekonomi, pujian.

c. Contoh dendaan ialah time out, pengasingan.


7. Menjalankan program

a. Program pengurusan tingkah laku boleh dilaksanakan setelah perancangan disediakan.


8. Melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala
a. Semasa program pengurusan tingkah laku dijalankan, guru bolehlah melakukan penilaian secara berterusan ataupun jika tingkah laku itu berkurangan, guru bolehlah membuatnya secara berkala.


9. Tindakan/ intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai)

a. Dari penilaian yang telah dijalankan, guru boleh membuat keputusan dimana jika tingkah laku sasaran telah tercapai, maka modifikasi tingkah laku telah berjaya.

10. Memastikan supaya tingkah laku negatif tidak berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau ditingkatkan.

a. Guru harus memastikan tingkah laku negatif itu tidak akan berulang manakala jika sasaran tingkah laku telah tercapai, guru haruslah mengekalkan atau meningkatkan lagi tingkah laku positif i


1.4 KEPENTINGAN PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN PERKAITANNYA DENGAN TEORI-TEORI TINGKAH LAKU

Pengurusan tingkah laku merupakan satu aspek penting yang harus diketahui dan difahami oleh setiap pendidik. Aspek ini penting kerana ramai guru menghadapi masalah untuk menangani masalah tingkah laku murid-murid bermasalah pembelajaran. Apabila keadaan ini berlaku, guru tidak dapat menyampaikan pengajaran dengan sempurna dan seterusnya boleh mengganggu perasaan dan emosi guru yang akhirnya menyebabkan guru merasa begitu tertekan.

Pengurusan tingkah laku juga merupakan aspek penting yang perlu dijalankan kerana ia dapat menjamin suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan afektif. Persekitaran yang kondusif dan afektif ini akan menjamin pembelajaran yang lebih selesa.

Tingkah laku bermasalah sekiranya tidak diuruskan dengan bijak akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk di masa hadapan. Apabila seseorang murid itu sudah biasa dengan tingkah laku bermasalah, situasi ini akan mengundang masalah dalam perhubungan sosial murid tersebut dengan keluarga, rakan-rakan, guru dan juga masyarakat amnya. Seorang guru perlu bijak merancang dan memilih kaedah yang paling sesuai untuk menguruskan sesuatu masalah tingkah laku yang timbul.

Mengikut pendekatan teori tingkahlaku yang dipolopori oleh Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik pengajaran akan gagal untuk menarik dan meransang minat murid-murid untuk mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Ini akan menimbulkan tingkah laku yang tidak diingini. Ini menunjukkan bahawa teori ini berkait rapat dengan perubahan tingkah laku murid.

Sekinner melalui Teori Pelaziman Operan Skinner (1953) telah menekankan tentang proses pembiasaan dalam membentuk tingkah laku dan mengemukakan beberapa rumusan tentang pembelajaran manusia. Menurut Skinner, pembelajaran berlaku melalui pelaziman dan peneguhan positif pula merupakan rangsangan yang penting dalam menambahkan kebarangkalian gerak balas pelajar. Oleh itu peneguhan positif perlu diberi dari semasa ke semasa untuk mengubah tingkah laku yang tidak diingini sekaligus menjayakan proses pengubahsuaian tingkah lau yang dijalankan. Manakala peneguhan negatif pula membawa kesan yang tidak menyeronokkan dan pelajar akan mengulangi tingkah laku operan yang diingini. Beliau berpendapat bahawa dalam proses pembelajaran, konsep diskriminasi adalah penting untuk mencapai kejayaan.

Melalui teori Skinner ini, pendekatan yang boleh digunakan dalam proses pengubahsuaian tingkah laku ialah dengan memberi ganjaran dan peneguhan kepada murid. Dengan ganjaran dan peneguhan yang bersesuaian, diharapkan dapat menghapuskan tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan. Pendekatan inilah yang telah saya guna pakai semasa saya menjalankan program pengurusan tingkah laku ke atas murid-murid pendidikan khas di sekolah saya.

2 comments:

  1. Alhamdulillah...perkongsian yg Sgt membantu Dan bagus...trma ksh kerana berkongsian maklumat yg penuh pengisian..izinkan saya utk share ya...terima kasih b

    ReplyDelete